Agamawan juga masuk neraka


Kita sering merasakan agamawan adalah orang yang sangat mudah masuk ke syurga. Dalam hadis nabi juga ada menyebut bahawa ulama adalah pewaris nabi yang sering di sebut oleh ramai orang. Adakah tidak kita terfikir akan ada ulama yang bukan pewaris nabi? Ulama yang tiada akhlaknya? Orang yang alim tapi tiada tawadhu?
Imam Al-Muhasibi (meninggal dua pada 234H) ada menyebut pada zamannya ada golongan agamawan yang gilakan dunia.  Ada juga agamawan yang hanya mencari kehormatan diri. Malah ada juga golongan agamawan yang telah hilang sifat wara dan taqwa. Ini menunjukkan bahawa sejak zaman dulu lagi memang wujud agamawan yang bukan pewaris nabi.
Kita tidak pernah membenci agamawan.  Tapi kita membenci agamawan yang tiada akhlaknya. Adakah agamawan tidak pernah dengar tentang hadis supaya menjaga tutur kata mereka?
Daripada Abu Hurairah, bahawasanya dia mendengar Nabi (SAW) bersabda, “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan suatu perkataan yang tidak dia fikir, sehingga dengannya dia terjerumus ke dalam Neraka yang jaraknya lebih jauh daripada timur dan barat.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, hadis no. 6477)
Hari ini terdapat agamawan bahkan golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘daie’ sering kali menghukum manusia yang lain seolah-olah dirinya lebih mulia dah sudah pasti masuk ke syurga.
Ada satu kisah  menarik dari satu hadis Nabi. Pada zaman Bani Israel dahulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap yang berbeza. Lelaki yang pertama suka berbuat dosa sementara yang kedua rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah itu melihat temannya berbuat dosa, ia meminta rakannya itu untuk berhenti daripada perbuatan dosanya itu.
Suatu hari, ketika rakannya itu sedang melakukan suatu dosa, ahli ibadah itu berkata “Berhentilah daripada membuat dosa.” Rakannya itu menjawab “Jangan pedulikan aku, terserah Allah untuk menilai perbuatan ku. Adakah engkau diutuskan oleh Allah untuk mengawasi apa yang aku lakukan?”
Ahli ibadah itu menjawab “Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni oleh Nya dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah.”
Setelah kedua-duanya meninggal dunia, Allah s.w.t telah menghakimi kedua-duanya dihadapanNya. Allah menyoal lelaki ibadah itu ” Adakah kamu lebih mengetahui daripada Ku? atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang telah berada dalam kekuasaan Ku?”
Kemudian kepada ahli maksiat itu Allah s.w.t berkata “Masuklah kamu kedalam syurga berkat rahmat Ku”. Sementara kepada ahli ibadah itu “masuklah orang ini kedalam Neraka.” (Riwayat Abi Daud)
Adakah golongan agamawan yang suka menghukum ini tidak pernah dengar akan hadis ini?
Setiap hari agamawan perlu untuk memperbaharui niat mereka untuk mengajar tentang keindahan agama ini.  Mengajar agama ini untuk Tuhan, bukan untuk kemasyhuran.
Nabi ada menyebut, “Berikutnya orang (yang diadili) adalah seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al-Quran. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengakuinya. Kemudian Allah menanyakannya: ‘Amal apakah yang telah engkau lakukan dengan kenikmatan-kenikmatan itu?’ Ia menjawab: ‘Aku menuntut ilmu dan mengajarkannya, serta aku membaca Al-Quran hanyalah karena engkau.’ Allah berkata : ‘Engkau dusta! Engkau menuntut ilmu agar dikatakan seorang ‘alim (yang berilmu) dan engkau membaca Al-Quran supaya dikatakan (sebagai) seorang qari’ (pembaca AlQuran yang baik). Memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu).’
Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka” (Riwayat Muslim, hadis no. 1905)
Ada juga agamawan yang lupa bahawa nabi berkata; dari Anas bin Malik r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang sengaja berdusta atas namaku maka hendaknya dia mengambil tempat duduknya di neraka.”(H.R. Bukhari dan Muslim).  
Berapa ramai agamawan yang tanpa berhati-hatj mengambil hadis palsu ini dalam ceramah-ceramah mereka? Sedar tak sedar, neraka sedang menanti mereka.
Agamawan ini beruntung kerana mereka ini lahir dalam keluarga yang baik, membesar dalam golongan yang baik dan beragama. Tapi apabila jumpa dengan yang bukan-muslim, terus pantas menerakakan mereka. Sedangkan tidak pernah ada rasa kesedaran untuk berdakwah kepada mereka.
Agamawan yang jahat ini apabila berjumpa dengan orang yang bermasalah, terus melabel mereka itu munafik, masuk neraka dan sebagainya sedangkan mereka ini ada yang lahir dalam keluarga yang bermasalah, mak ayah bercerai, salahguna dadah dan pelbagai latar belakang yang tidak menyebelahi mereka.  Hanya kerana agamawan ini lahir dalam keluarga yang baik, mereka rasa mereka itu lebih mulia.
Kita tidak membenci agamawan yang baik.  Tapi bagaimana kita ingin mencintai agamawan yang setiap kata-katanya penuh cacian dan makian? Bagaimana aku ingin mencitai agamawan yang kata-katanya buat pendosa lari dari agama?
Agamawan perlu bertanggungjawab apabila pendosa dan non muslim menjauhkan diri daripada agama kerana sikap-sikap agamawan. Kita tidak pernah menafikan jasa agamawan yang baik pada ummat islam hari ini. Tapi kita perlu ingat, agamawan ini bukan nabi untuk menjadikan mereka maksum.
Jika agama ini bukan untuk pendosa , maka untuk siapa lagi?