Reformasi Parlimen agenda utama Nga Kor Ming


Kejayaan atau kegagalan pelaksanaan dasar sesebuah kerajaan bergantung kepada sejauh mana kualiti keputusan yang dicapai melalui perbahasan anggota-anggota Dewan Rakyat sejajar dengan keperluan rakyat dan negara.
Justeru, profesionalisme dan ketertiban pengendalian sesi Parlimen memainkan peranan besar yang boleh mempengaruhi sebarang kesan langsung kepada negara dan itu yang ditekankan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat penggal ke-14, Nga Kor Ming.
Menurutnya, bagi mencapai maksud itu, pasukan speaker perlu bersikap adil dan profesional sama ada bagi pihak kerajaan mahupun pembangkang.
“Jika ada MP masih berdegil, atau sengaja mengundang kekecohan, dia kena terimalah hukuman daripada tingkah laku sendiri.
“Mengenai sikap, sikap ini mencerminkan watak seseorang. Watak seseorang ini bukan senang nak ubah semalaman,” katanya ketika ditemui Roketkini.
Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan segera menarik perhatian umum sejurus dilantik ke jawatan itu. Selain dikenali sebagai pemimpin yang lantang, berani dan tegas, kepetahan peguam berusia 45 tahun menggunakan Bahasa Melayu dengan baik mengendalikan sesi dewan rakyat mendapat pujian.
Namun, ada sesuatu yang ramai terlepas pandang; Nga Kor Ming juga memiliki pesona stamina yang tinggi. Apa rahsianya?
“Kena jaga kesihatan mental dan kesihatan tubuh badan. Kena berdisiplin. Saya jogging lima kilometer setiap hari sebelum pegang jawatan ini, tiap hari saya akan jogging,” ujarnya mengakui jadual ketat sebagai Timbalan Speaker telah menghadkan aktiviti riadah tersebut.
‘Perubahan tak boleh dibuat dengan petik-petik jari sahaja’
Peralihan tampuk kuasa daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya lalu memberi tamparan hebat kepada parti yang tewas.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming menekankan aspek keadilan dalam mengendalikan sesi perbahasan. Foto: Hasful Zainuddin
Selain memomokkan sentimen perkauaman dan agama, pembangkang mendakwa kerajaan gagal melaksanakan janji manifesto 100 hari antara lain melibatkan reformasi instirusi kerajaan termasuk Parlimen.
Bagi Nga, segala tohamahan tersebut jelas menunjukkan pembangkang terdesak dan mereka perlu berlaku adil sebelum membuat sebarang tohmahan.
“Sebagai contoh, sekarang kita nak buat reformasi Parlimen, salah satu langkah yang paling utama adalah pastikan Parlimen adalah badan bebas.
“Nak jadi badan bebas kita mesti luluskan akta perkhidmatan parlimen (1963) yang telah dimansuhkan sejak tahun 1992. Sekarang kita nak hidupkan semula akta yang dimansuhkan,” jelasnya.
Walaupun ia perkara yang baik kata beliau, Artikel 65 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi meluluskan akta tersebut.
“Jadi, untuk pinda Perlembagaan misalnya takkan boleh pinda dalam masa 100 hari? Tolonglah. Sila berlaku adil kepada semua. Nak pinda perlu ada proses dia. Ini undang-undang tertinggi. Bukan petik jari boleh pinda sewenang-wenang – itu bukan perlembagaan, itu macam Laksamana Do Re Mi punya cerita,” kata beliau.
Membebaskan agensi-agensi awam
Selain meletakkan Parlimen sebagai badan bebas, Nga memiliki beberapa visi lain dalam meneruskan agenda mereformasikan institusi Parlimen.
“Pertama kita nak hidupkan akta parlimen supaya Parlimen jadi badan bebas. Kedua yang sudah kita lakukan iaitu pembangkang dilatik jadi pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Ketiga, kita nak wujudkan Jawatankuasa Khas yang bertanggungjawab,” jelas beliau.
Jawatankuasa khas ini katanya bertujuan untuk memantau Sembilan agensi yang bakal diletakkan di bawah Parlimen iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara (JAN), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Pejabat Pendakwa Raya Negara, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Parlimen Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Sebagai langkah pertama, wajib wujudkan jawatankuasa khas ini supaya mereka boleh memantau badan-badan ini. Jawatankuasa ini pula akan dianggotai kedua-dua pihak daripada pembangkang dan pihak kerajaan, ini adil.
“Jadi, mereka akan buat pemantauan dan wajib buat laporan, bentangkan di Parlimen dan dibahaskan. Sebab itu pada masa kehadapan ini Parlimen kita akan sangat aktif,” katanya.
Cadangan keempat kata Nga ialah mewujudkan sesi soal jawab bersama Perdana Menteri atau ‘Prime Minister question time’ di mana Perdana Menteri wajib hadir sekurang-kurangnya sekali dalam setiap minggu seperti diamalkan oleh House Of Common United Kingdom.
“Kita juga bercadang untuk wujudkan Hari Pembangkan (opposition day). Ini semua kita tak pernah buat. Sekarang, semua agenda mesyuarat ditetapkan oleh kerajaan. Melalui Oposition Day ini agenda akan mesyuarat akan ditetapkan oleh pembangkang sendiri,” ujarnya.
Beliau juga mencadangkan untuk mewujudkan Jawatankuasa Terpilih yang akan memantau kesemua 25  kementerian.
“Satu Jawatankuasa Terpilih akan pantau tiga kementerian. Contohnya Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa kerana saling berkaitan. (Kementerian) Belia Sukan dan Perpaduan Nasional misalnya satu jawatankuasa. Kementerian Luar Negeri, MITI dan Hubungan Antarabangsa, satu jawatankuasa,” kata Nga.
Beliau juga mencadangkan persidangan penuh yang dihadiri kesemua 222 orang Ahli Parlimen dan sesi tersebut disusuli persidangan peringkat jawatankuasa.
“Saya bagi contoh, selesai sesi minggu ini, pada bulan September hingga Oktober pula Parlimen akan bersidang peringkat jawatankuasa, semua laporan hantar kepada pejabat Speaker. Kemudian dibentangkan di kamar utama dan bahaskan serta luluskan cadangan-cadangan,” kata beliau menjelaskan melalui kaedah ini, Parlimen akan lebih aktif dan produktif. –