PKR: Pengerusi, Timbalan SPR Disaran Letak Jawatan
SHAH ALAM, 17 MAC: Pengerusi dan pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran meletakkan jawatan sekiranya masih gagal menjelaskan beberapa persoalan berkaitan tindakan badan suruhanjaya itu yang didapati melanggar undang-undang pilihan raya negara ini.
Saranan tersebut dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), YB Fuziah Salleh hari ini dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Damansara.
“Dah tiga hari kita dedahkan, kalau dalam masa seminggu kalau SPR tak dapat berikan jawapan eloklah pemimpin tertinggi SPR seperti Pengerusi dan Timbalannya Tan Sri Abdul Aziz dengan Wan Ahmad Wan Omar letak jawatan,” ujar Fuziah.
Fuziah turut menyenaraikan beberapa sebab pemimpin tinggi SPR itu meletakan jawatan.
“Pertama mengapa mereka memotong nama kira-kira 106 ribu nama pengundi tanpa dipamerkan.
“SPR mesti jelaskan bagaimana ada nama pengundi awam ditukar kepada pengundi pos tentera dan polis sedangkan ada diantaranya dah berumur lebih 60 tahun.
“SPR juga tak jawab mengapa 6700 nama dimasukan tanpa dipamerkan.
“SPR perlu jelaskan mengapa mereka membuat persempadanan semula tanpa mengazetkan dan memindahkan pengundi tanpa pengetahuan dan izin pengundi,” ujar beliau.” katanya lagi.
Terdahulu pusat mengundi bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah dipindahkan ke Parlimen Lembah Pantai sedangkan beliau tidak memohon untuk pertukaran alamat atau pertukaran pusat mengundi.
Bagaimanapun tindakan SPR menukar pusat mengundi Khalid itu tidak menjejaskan kelayakkan beliau untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri Selangor dan Menteri Besar dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.
Sehubungan itu katanya seluruh rakyat dan pengundi berhak untuk mempersoal integriti dan ketelusan suruhanjaya tersebut sekali gus akan menyebankan rakyat hilang keyakinan terhadap badan pilihanraya itu.