PAS BUKIT BENDERA
Saya selaku AJK Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat amat bersetuju Forum Tanah Pulau Pinang perlu diadakan segera.Isu tanah wakaf, tanah tol,tanah milik persendirian,tanah milik kerajaan dan sebagainya perlu diperjelaskan kepada masyarakat dari semua sudut perundangan,cukai tanah dan sebagainya kata Saiful Lizan Md Yusoff.
Kerajaan Pulau Pinang wajar mempunyai Dasar Pembangunan Tanah dan Sosial yang lebih progresif, kata Dr. Mujahid Yusof Rawa.
Cadangan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri itu sebagai menyambut komitmen Lim Guan Eng, Ketua Menteri mengadakan Forum Tanah demi mempertahankan hak permukiman orang-orang Melayu, Cina dan India di atas tanah bukan milik mereka.
"Buat masa ini kita mesti ada satu dasar yang umum, saya ingat idea pembangunan tanah dan sosial masih belum dilontarkan.
"Jangan tunggu ada projek pembangunan lain, baru kita nak aktif Forum Tanah, kita kena bertindak lebih progresif untuk orang-orang Melayu, Cina dan India sebab semua mereka menghadapi masalah ini," ujarnya.
Bagaimana pun, beliau tidak pula mencadangkan tarikh sesuai untuk dibentangkan dasar itu atau menganjurkan forum tanah peringkat kerajaan negeri.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Isu Berkaitan Pakatan Rakyat negeri berkata, dasar terbaru itu wajar menitikberatkan tiga perkara utama.
"Pertama, kita nak lihat struktur sosial tidak terjejas...kita nak struktur sosial kekal sebagaimana ia dikenali turun temurun.
“Kedua, kalaupun berlaku pembangunan di situ oleh pemaju atau kerajaan negeri sendiri, maka penempatan semula mereka dalam satu-satu projek pembangunan mesti dilakukan pada tempat yang sama, bukan halang mereka keluar dari kampung mereka.
"Yang ketiga, kita cadangkan warta kampung warisan seperti di Jelutong dan Tanjong Tokong di mana mereka yang tinggal ini sejak beratus tahun," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.
Pun begitu, katanya dasar terbaru itu perlu terlebih dahulu melihat realiti nilai komersial tanah-tanah terbabit.
"Sebab nilai tanah di Pulau Pinang sangat mahal dan kerajaan negeri tidak boleh menjadikan tanah di Pulau Pinang kebajikan semata-mata.
"Sebab itu, kerajaan negeri perlu fikir bagaimana untuk menjana pendapatan yang lumayan bagi kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat yang mana lumayanya itu kita akan pulangkan kepada rakyat bukan sahaja dari segi tanah dari segi tanah untuk mereka ditempatkan semula, tapi dari segi pendidikan yang juga aset besar pada pembangunan sosial negeri," ujarnya.
Sambil menyifatkan isu tanah sebagai isu major pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), beliau berkata, sekiranya langkah progresif itu dilaksanakan, isu salah faham seperti yang dialami oleh segelintir masyarakat Melayu di Kampung Pokok Asam sebelum ini tidak berulang lagi.