Pernah lawan hudud? AMANAH cabar Zaid pilih : Perlembagaan atau agenda Pas


 


Penyertaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ke dalam Pas mengundang persoalan mengenai pendirian sebenar beliau terhadap isu hudud dan Perlembagaan Persekutuan apabila AMANAH mencabarnya menyatakan secara terbuka sama ada masih berpegang kepada prinsip yang pernah diperjuangkannya atau kini menerima agenda parti itu.

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, Zaid perlu menjelaskan sama ada beliau kini menyokong pelaksanaan undang-undang hudud yang sebelum ini pernah dicabarnya di Mahkamah Persekutuan atas alasan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Beranikah Zaid Ibrahim memohon maaf kepada Pas kerana pernah mencabar undang-undang hudud Kelantan sekiranya beliau benar-benar ikhlas mahu bersama Pas?

“Kes itu pernah dibawa ke Mahkamah Persekutuan kerana didakwa tidak berperlembagaan. Adakah sekarang Zaid telah berubah pendirian?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Faiz, Pas juga sebelum ini pernah menyifatkan Perlembagaan Persekutuan sebagai tidak Islamik kerana dianggap sebagai perlembagaan penjajah.

Sehubungan itu, beliau mencabar Zaid membuat pilihan yang jelas.

“Saya cabar Zaid untuk memilih antara Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang hudud,” tegasnya.

Pada 2002, ketika masih menjadi peguam dan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Zaid memfailkan tindakan di Mahkamah Persekutuan terhadap kerajaan Kelantan dan Terengganu dengan alasan kedua-dua negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah.

Beliau ketika itu memohon pengisytiharan bahawa Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu serta Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan adalah tidak sah dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.

Pada 2003, Zaid sekali lagi memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar Enakmen Kesalahan Jenayah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 atas alasan yang sama, namun saman tersebut akhirnya ditarik balik.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini pada Mei 2014, beliau berkata tindakan itu dibuat selepas diminta menarik balik saman berkenaan, namun tidak menamakan pihak yang berbuat demikian.

Faiz turut mempersoalkan sama ada penyertaan Zaid ke dalam Pas sebenarnya bertujuan membawa perubahan kepada parti itu atau sebaliknya.

“Adakah usaha Zaid dalam Pas sekarang lebih kepada meliberalkan Pas?

“Adakah Pas bersedia menarik balik perjuangan hudud sekiranya Pas berjaya diliberalkan?” soalnya lagi.

Sabtu lalu, Pas mengumumkan penyertaan Zaid bersama beberapa tokoh lain dalam satu majlis di Seremban, Negeri Sembilan.

Mengulas kemasukannya, Zaid menyatakan beliau yakin Pas mempunyai masa depan yang positif dan berpotensi mentadbir Malaysia bersama ahli-ahli Parlimen progresif selepas pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga berjanji akan berusaha mengubah persepsi bahawa Pas ialah sebuah parti yang ekstrem dan antidemokratik serta menegaskan parti itu mampu membela semua rakyat dalam masyarakat berbilang kaum.


No comments: