Warkah terbuka buat Abang Hanipa Maidin





OLEH FAIZ FADZIL



Tulisan peribadi Abang Hanipa Maidin yang terbaru yang mempertikaikan kesungguhan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) untuk melaksanakan reform begitu memeranjatkan saya. Izinkan saya untuk memberikan respond pandangan tersebut atas kapasiti peribadi. Tiada niat untuk saya menyingung perasaan Abang Hanipa, tetapi saya selalu yakin dengan pendirian Abang Hanipa yang teguh berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara.

Sejak DSAI memerintah, perkara utama yang beliau bertiwikrama adalah mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil. Negara telah melalui satu episod hitam selama 3 tahun selepas coup d e’tat melalui Langkah Sheraton yang menyaksikan ekonomi negara yang merosot akibat ketidakstabilan politik. Tindakan DSAI yang memberikan 2 tumpuan utama iaitu kerajaan yang stabil dan pemulihan ekonomi adalah satu reform penting di mana perkara inilah yang gagal ditangani ketika zaman Muhyiddin dan Ismail Sabri sehingga menyaksikan negara mempunyai kerajaan yang tidak stabil dan ekonomi yang terus mengucup pasca Covid-19.

Pelantikan DSAI sebagai PM dibuat secara sah mengikut Perlembagaan Persekutuan di mana beliau mempunyai keyakinan majoriti Ahli Parlimen selepas keputusan PRU ke-15 dan ini diperkukuhkan lagi dengan usul undi percaya yang dibawa di lantai parlimen pada 19 Disember 2022. Jelas, DSAI tidak berkompromi dengan langkah menjadi kerajaan melalui pintu belakang dan berpegang teguh dengan prinsip tulen demokrasi. Bukankah ini satu reformasi yang telah dilaksanakan DSAI sebagai PM.

Berasaskan kepada kestabilan politik inilah ekonomi negara kembali kukuh dan inilah reform besar yang sedang berlaku. Antara kejayaan pemulihan ekonomi DSAI adalah:

  • i) Ringgit di bawah pentadbiran PN melebihi kadar RM4.70 berbanding USD pada Nov 2022. Bawah PMX, Ringgit menyaksikan pemulihan dan hari ini, berada sekitar RM4.4.
  • ii) Dalam 6 bulan pertama 2024, pelaburan langsung diluluskan meningkat 18% ke RM160bil berbanding tahun sebelumnya. Angka RM160bil adalah paling tinggi dalam sejarah negara untuk tempoh Jan-Jun.
  • iii) Penghapusan 66% miskin tegar di Malaysia setakat Okt 2024. KDNK negara pada suku ketiga 2024 menunjukkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus, melebih anggaran awal 5.1 peratus.
  • iv) Negeri-negeri pembangkang (SG4) tidak dianak-tirikan. Dalam Belanjawan 2025, diumumkan bahawa perkumpulan ekonomi akan diwujudkan mengikut keistimewaan negeri seperti tenaga boleh baharu di Perlis dan Sabah, industri kimia khusus di Pahang dan Terengganu. Royalti minyak di Kelantan dan Terengganu dikembalikan.
  • v) Jumlah hutang baharu tahunan telah dikurangkan kerana perbelanjaan lebih efisien. Pada tahun 2021 dan 2022, jumlah hutang baharu tahunan adalah RM100bil setahun. Namun, ia telah jatuh kepada RM84.7bil pada 2024.

Adapun Abang Hanipa membandingkan kes Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi, keputusan DNAA dibuat oleh Jabatan Peguam Negara tanpa campur tangan DSAI. Perlantikan Zahid Hamidi sebagai TPM pula dibuat atas semangat perpaduan yang dibina antara PH dan BN dan inilah kunci kekuatan kepada kestabilan politik yang wujud sekarang.


Adapun reformasi institusi yang dibangkitkan, ianya memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang mana DSAI perlu mempunyai sokongan 2/3 majoriti Ahli Parlimen. Jika sesuatu pindaan tidak mendapat kelulusan Dewan Rakyat, ia akan mewujudkan krisis perlembagaan lagi sekali yang pasti boleh menggugat kestabilan politik yang akan merencatkan pemulihan ekonomi. Kesannya, rakyat akan menderita sekali lagi.

Sebagai PM, DSAI melaksanakan tugas secara tanggungjawab bersama (collective responsibility) dan jemaah menteri telah melakukan beberapa reform besar dalam pentadbiran negara.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak samarata kepada ibu berkaitan kewarganegaraan anak yang lahir di luar negara adalah satu lagi reform yang telah berlaku. Usaha bersungguh-sungguh kerajaan Madani untuk meningkatkan pengeluaran padi tempatan juga satu reform melalui agenda keterjaminan makanan.

Antara reform institusi yang sudah dilaksanakan adalah Prime Minister Question Time (PMQT) di Parlimen, penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 dan pindaan Pindaan Akta Audit 1957. Malah mengikut pelaporan BERSIH, terdapat 11 Reformasi yang sedang berjalan dan dalam proses untuk dilaksanakan termasuklah pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen akan dilaksanakan pada tahun depan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri di Parlimen semalam.



Ini membuktikan bahawa agenda Reformasi kekal menjadi agenda utama Kerajaan Madani pimpinan DSAI yang memerintah hari ini. Sekalipun wujudnya cabaran untuk melaksanakannya, namun ianya masih dapat dilaksanakan dan prosesnya masih berjalan.

Walau bagaimapun, pelaksanaan agenda Reformasi ini lebih adil untuk dinilai ketika tamat penggal pemerintahan dan bukannya ketika pertengahan penggal. Ini bagi memberi ruang kepada kerajaan melaksanakannya dan perlu melalui proses yang panjang. “Rome was not built in a day”.

Kepada Abang Hanipa, saya selalu teringat pertemuan-pertemuan kita dahulu bertemankan segelas teh tarik. Usahlah memberikan peluru kepada musuh.

Zaman politik hari ini penuh dengan fitnah dan sentimen dan cukuplah kita saling salah-menyalah pemimpin yang sama-sama kita bela sebelum ini. Berilah peluang dan ruang kepada DSAI untuk melaksanakan agenda reformasi kerana itulah perjuangan kita bersama beliau sebelum ini.



Faiz Fadzil ialah Setiausaha Agung AMANAH.