ANWAR JANGAN JADIKAN PESAWAT RASMI KERAJAAN MACAM BAS PERSIARAN
22 November 2024
Barangkali kerana ada sedikit rasa bersalah disebabkan terlalu kerap ke luar negara, sedangkan ekonomi dan pendapatan negara tidak pun bertambah berlipat kali ganda, Perdana Menteri lantas memilih pendekatan lain untuk mengurangkan beban kos pesawat rasmi kerajaan yang digunakannya.
Ia ialah dengan cara mengajak syarikat-syarikat swasta yang ikut serta dalam lawatannya ke luar negara itu untuk sama-sama menaiki pesawat rasmi kerajaan, tetapi dikehendaki membayar kos perjalanannya.
Memberitahu Dewan Rakyat semalam, Anwar Ibrahim berkata, sekitar 70 hingga 80 peratus perbelanjaan perjalanan dan lawatan rasminya ke lima negara baru-baru ini adalah ditanggung oleh syarikat swasta yang turut dalam lawatannya.
“Saya lihat kos perjalanan selalunya agak tinggi. Jadi, kali ini apa yang kita lakukan adalah dengan kerjasama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz).
“Kita undang syarikat-syarikat terbabit umpamanya Petronas, Sapura Energy, Yinson, Proton dan syarikat semikonduktor (tidak dinamakan nama syarikatnya) yang mengikuti rombongan untuk ikut serta dan mereka bayar tambang dan kos.
“Jadi, maknanya tak salah saya sekitar 70 hingga 80 peratus kos penerbangan ditanggung oleh syarikat yang ikut serta dalam lawatan itu,” katanya.
Pendekatan lain yang cuba dilakukan Anwar ini adalah sesuatu yang salah dan tidak wajar kerana pesawat rasmi kerajaan adalah untuk kegunaan rasmi Perdana Menteri ketika melakukan lawatan ke luar negara.
Tindakan membawa syarikat swasta memungkikan wujudnya konflik kepentingan yang ketara, di samping menjadikan pesawat rasmi kerajaan seperti bas persiaran atas bas RapidKL yang boleh dinaiki oleh sesiapa saja.
Selain Perdana Menteri, pesawat rasmi kerajaan hanyalah untuk kegunaan Yang Di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Timbalan Perdana Menteri.
Membawa wakil atau peneraju syarikat swasta menaiki pesawat rasmi kerajaan bersama Perdana Menteri dalam lawatan rasmi ke luar negara tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
Ketika Perdana Menteri melawat ke luar negara, pesawat itu sepatutnya eksklusif untuk kegunaan Perdana Menteri dan yang mereka yang dibenarkan secara rasmi oleh saja, bukan untuk diajak mana-mana orang atau syarikat swasta dan dikehendaki pula membayar sebahagian kos untuk turut sama menaikinya.
Bukankah pada Disember 2022 lalu kerajaan sendiri mengeluarkan arahan bahawa lawatan rasmi penjawat awam ke luar negara tidak boleh ditaja oleh syarikat swasta?
Tun Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri, jangankan syarikat swasta atau ahli perniagaan, anak-anaknya pun tidak pernah merasa menaiki pesawat rasmi kerajaan yang dinaikinya.
Mengajak wakil atau peneraju syarikat swasta menaiki pesawat rasmi dan mereka akhirnya membayar tambang serta kos dan akhirnya menjadikan antara 70 hingga 80 peratus kos penerbangan ditaja oleh swasta, selain menjadikan Anwar melanggar arahan kerajaan, malah dengan sendirinya menjadikan tatakelola sudah bertukar menjadi tatakelaut.
Apakah budi menaja sehingga 80 peratus kos penerbangan itu percuma begitu saja dan syarikat swasta berkenaan tidak mengharapkan apa-apa balasan?
Sebenarnya Anwar tidak perlu risau berkenaan kos tinggi akibat penggunaan pesawat rasmi setiap kali beliau melakukan lawatan rasmi ke luar negara.
Beliau juga tidak perlu ada rasa bersalah dengan kos penerbangan yang tinggi itu kerana itu memang kelayakan seorang Perdana Menteri yang bertugas demi negara.
Semua kita faham perkara itu, asal saja lawatan ke luar negara itu membawa hasil yang baik kepada negara dan bukan untuk hore-hore.
Jika Anwar mahu sangat berjimat dan benar-benar sayang duit kerajaan, adalah lebih baik beliau memilih pesawat komersial saja setiap kali melawat ke luar negara.
Nak jimat lagi, jangan ambil kelas pertama atau kelas perniagaan, tetapi naiklah kelas ekonomi atau lagi berjiwa marhaen jika memilih syarikat penerbangan tambang murah dan sanggup menunggu sebelum Subuh lagi di KLIA2 untuk terbang ke mana-mana negara.
Lebih membimbangkan, tindakan membawa syarikat swasta ini, jika berterusan hanya meletakkan Perdana Menteri sentiasa dikelilingi golongan mahakaya ketika di udara setiap kali beliau melakukan lawatan ke luar negara dan sewaktu berjam-jam di udara itu pula tidak mustahil macam-macam perbincangan, malah mungkin kelulusan perniagaan pun turut dilakukan.
Inikah tatakelola kerajaan madani yang dibangga-banggakan? – ShahbudinHusin 22November2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/11/anwar-jangan-jadikan-pesawat-rasmi-kerajaan-macam-bas-persiaran/