ANAK TEMPATAN LAWAN ANAK KELAHIRAN AMPANG



Sebagaimana dijangka, PRK Kuala Kubu Bharu (KKB) 11 Mei depan pasti akan menjanjikan pertembungan yang sengit dan menarik.


Dengan dua parti utama, PH dan PN telah mengumumkan calon masing-masing, KKB tidak dapat lari lagi daripada menjadi tumpuan peminat dan pemerhati politik daripada seluruh negara.


PH melalui DAP mempertaruhkan Pang Sock Tao, seorang wanita muda berusia 31 tahun sebagai calonnya.


Beliau adalah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan berasal dari Ampang, Selangor.


PN pula meletakkan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut sebagai calon mereka.


Beliau adalah anak tempatan iaitu lahir di Felda Sungai Tengi, dalam kawasan Hulu Selangor dan bekerja sebagai Pengurus Besar sebuah syarikat swasta di kawasan tersebut.


Secara umumnya, kedua-dua calon adalah anak jati Selangor – cuma seorang anak tempatan dan seorang lagi dilahirkan di Ampang.


Sejauh mana faktor anak tempatan dan anak Ampang ini dapat mempengaruhi kemenangan hanya dapat dilihat apabila kempen mula berjalan nanti sehinggalah hari pembuangan undi pada 11 Mei depan.


Tetapi, sudah pasti PN akan menggunakan faktor anak tempatan tersebut sebagai kelebihan untuk mereka mendapatkan sokongan daripada pengundi, manakala PH haruslah bersedia dengan kelebihan-kelebihan lain yang dimiliki oleh calon yang ditonjolkan.


Yang paling menarik dalam PRK KKB ini ialah bila mana kali ini ia menyaksikan pertembungan antara Cina dengan Melayu.


Sebelum ini, KKB adalah kawasan yang dimenangi oleh MCA sehinggalah DAP berjaya merampas kemenangan itu bermula PRU 2013 hinggalah PRN negeri Selangor fahun lalu.


Ertinya, daripada pertembungan antara Cina dengan Cina, namun kali ini KKB berubah kepada persaingan antara Cina dengan Melayu.


Lebih menghangatkan persaingan kali ini adalah kerana jumlah pengundi Melayu merupakan majoriti iaitu 51 peratus, Cina 30 peratus dan India 18 peratus.


Selain PH dijangka akan mendapat sokongan padu daripada pengundi Cina dan PN pula dipercayai akan disokong pengundi Melayu, akhirnya faktor pengundi India adalah penentu sebenar kepada kemenangan yang diimpikan.


Penentu kemenangan juga akan ditentukan oleh peratusan yang keluar mengundi dan berapa peratus PH dan PN berjaya mengungguli sokongan daripada pengundi Cina serta Melayu.


Dalam hal ini, oleh kerana peratusan pengundi Melayu lebih tinggi berbanding Cina, peranan UMNO sebagai parti ketuanan Melayu juga akan mempengaruhi kemenangan PH kerana mereka akan bersaing dengan Bersatu yang akan dibantu oleh Pas untuk merebut kelompok 51 peratus tersebut.


Tidak kurang pentingnya, memandangkan DAP boleh dikata unggul di hati sanubari pengundi Cina, peranan Gerakan juga penting untuk meraih undi kelompok tersebut yang boleh dibawa untuk menyokong calon PN.


Akhirnya, apa pun keputusan PRK KKB pada 11 Mei akan datang yang dilihat ditentukan oleh banyak faktor, keputusannya nanti juga adalah gambaran awal sama ada PH/BN masih mampu mempertahankan negeri Selangor dan seterusnya untuk melihat sejauh mana kerajaan madani pimpinan Anwar Ibrahim mampu kekal lagi pada PRU16 akan datang. – ShahbudinHusin 26April2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/04/26/anak-tempatan-lawan-anak-kelahiran-ampang.html



No comments: