Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim
tidak gentar dengan tindakan digantung atau dibuang parti berikutan teguran
mendakwa reformasi dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
terlalu perlahan dan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) wajar turun
ke jalanan bagi menuntut janji.
Katanya, beliau berpendirian berpegang kepada
prinsip dan tidak akan tunduk atau berdiam diri terhadap perkara tidak betul
sekali gus memerlukannya menegur demi kepentingan semua pihak.
Menurutnya, dia tidak gentar dipecat atau
digantung keahlian daripada PKR kerana tidak mempunyai sebarang kepentingan
malah tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan dan parti.
“Jadi saya nak jaga apa sangat, buang,
buangla, pecat, pecatla. Saya tukar baju Ahli Parlimen pakai baju ‘lawyer’,
pergi mahkamah.
“Bukanlah saya berkata angkuh bila kata macam
itu. Saya tiada kekuatan, kalau saya disingkirkan daripada parti tak rugi apa
pun. Patah tumbuh hilang berganti.
“Saya serah sahaja, apa pilihan yang saya ada,
saya dah tua, takkan nak setuju atau tunduk sahaja,” katanya ketika hadir di
sambutan Tahun Baharu Cina di Tokong Kim Ying, Plentong di sini hari ini.
Hassan berkata, dia percaya Anwar yang juga
Presiden PKR faham perkara yang disuarakannya dan itu bukan kali pertama beliau
membuat teguran.
Menurutnya, malah Anwar yang merupakan sahabatnya
sejak di menara gading juga sentiasa terbuka bagi menerima teguran dan
pandangan membina.
PKR adalah sebuah parti politik berteraskan
perjuangan reformasi dan perlu diteruskan serta pada masa sama percaya agenda
itu akan diteruskan selagi Anwar menjadi Presiden parti berkenaan.
“Kalau orang lain jadi Presiden PKR, saya
tidak berani cakap tapi teguran saya itu Anwar faham maksud saya (perkara yang
dibangkitkan).
“Kita tidak mahu Anwar dikelilingi pegawai dia
yang ‘yes man’ sokong sahaja.
“Ini sokongan yang membawa rebah, oleh itu
kita percaya Anwar tidak boleh dikelilingi mereka yang angguk-angguk,” katanya.
Hassan berkata, walaupun membuat teguran
termasuk dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
baru-baru ini, hubungannya dengan Anwar tidak mempunyai masalah.
“Dia ada baca analisis yang saya tulis
berkaitan isu pengampunan Najib dan Anwar menyatakan analisis yang tepat.
“Hubungan saya dengan Anwar tidak terjejas dan
sangat baik termasuk dia kerap bertanya khabar,” katanya.
Beliau mengulas sama ada bersedia dikenakan
tindakan selepas semalam mendakwa reformasi dilaksanakan Anwar terlalu perlahan
dan BERSIH wajar turun ke jalanan menuntut janji.
Pada Rabu lalu, BERSIH menggesa pentadbiran
Anwar tidak lagi berdalih dan melaksanakan semua agenda reformasi dijanjikan
sebelum menjadi kerajaan dan mengugut berdepan demonstrasi jalanan.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR, Fahmi
Fadzil berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan mengenakan tindakan
disiplin terhadap Hassan susulan kelantangan beliau dalam menyuarakan pelbagai
isu ketika ini.
Sumber –
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1210881/pecat-pecatlah-takkan-nak-setuju-atau-tunduk-sahaja
0