SELAGI NAJIB ADA, ISU 1MDB AKAN TETAP MENGHANTUI ISMAIL SABRI


 Dua hari lalu, saya terbaca satu artikel di sebuah portal yang menulis tentang beban skandal 1MDB yang dikatakan akan terus menghantui Ismail Sabri Yaakob dalam usaha beliau mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Antaranya disebut bahawa ia kekal menjadi beban kerana isu 1MDB tidak pernah padam daripada menjadi bualan serta perhatian dalam masyarakat sehingga sekarang.

Dalam hal berkaitan, sementara perkara itu memang hakikat yang tidak dapat dinafikan, sekurang-kurangnya ada dua sebab mengapa isu 1MDB akan tetap menghantui Ismail Sabri yang telah diputuskan sebagai “poster boy” BN dalam menghadapi PRU15 akan datang.

Pertama, kerana Najib Razak masih bebas dan belum dipenjarakan.

Kedua, disebabkan beliau sentiasa berlegar-legar di sekeliling UMNO sambil menjaja propaganda seolah-olah dirinya tidak bersalah dalam skandal tersebut.

Sekiranya Najib ketika ini sudah menerima hukuman dan dipenjarakan, ia tentu mudah bagi UMNO dan BN untuk menepis daripada terus dikaitkan dengan skandal 1MDB itu.

Selain boleh menjarakkan diri daripada terus dikaitkan dengan skandal itu, UMNO dan BN malah boleh mendabik dada dengan mengatakan undang-undang telah ditegakkan sebagaimana ramai pesalah di beberapa negara lain berkaitan 1MDB juga telah menerima hukuman masing-masing.

Najib sudah pun dijatuhi hukuman bersalah dan dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi dalam kes SRC International iaitu anak syarikat 1MDB dan hukumannya kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Begitu pun, sebagaimana beliau diberi penangguhan daripada menjalani hukuman sementara kesnya dirayu di Mahkamah Rayuan sebelum ini, kini beliau juga diberi penangguhan yang sama sementara menunggu rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan pada 15 Ogos depan.

Meskipun penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan yang diberikan kepada Najib adalah soal kebijaksanaan mahkamah yang tidak harus kita dipertikaikan, tetapi ia tidak dinafikan mempunyai kesan politik yang bukan sedikit kepada UMNO dan BN menjelang PRU15 akan datang.

Perbagai serangan dan persepsi boleh disemarakkan bagi tujuan menghalang UMNO dan BN daripada beroleh kemenangan.

Lebih-lebih lagi, UMNO dan BN yang ditumbangkan pada PRU 2018 lalu ketika Najib yang masyhur ke seluruh dunia kerana skandal 1MDB, telah kembali menjadi kerajaan sekarang ini.

Mahu tidak mahu, ia menjadikan isu 1MDB terus hidup dan sebagai “poster boy” BN, Ismail Sabrilah penanggung terbesar beban skandal itu dalam PRU15 nanti.

Di samping kes SRC International yang sudah di peringkat akhir rayuan, Najib juga masih berdepan perbicaraan berkaitan RM2.6 bilion dana 1MDB dan dakwaan meminda laporan audit syarikat tersebut.

Selain itu, tindakan Najib yang terus berlegar-legar di sekeliling UMNO mencari populariti dengan pelbagai lagak tunjuk pandainya setelah tiada kuasa ini adalah juga suatu beban kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Sebagai orang yang menyebabkan BN kalah pada PRU 2018 dan kemudian sedang berdepan pelbagai pertuduhan di mahkamah, Najib sepatutnya sedar diri dengan memilih untuk berehat seketika sehingga kesnya selesai atau lebih baik, berundur saja terus daripada politik.

Tambahan lagi, skandal 1MDB yang diakibatkannya itu sudah melekat dalam minda rakyat di mana secara umumnya semua orang sedar untuk tempoh bertahun-tahun akan datang, negara masih perlu membayar hutang berpuluh bilion disebabkan olehnya.

Sebab itu, amalan UMNO sebelum ini di mana pemimpinnya yang didakwa di mahkamah akan direhatkan daripada jawatannya sehingga kes mereka selesai adalah suatu tindakan yang betul serta mampu menjaga nama baik parti.

Zaman Najib pada hakikatnya telah berlalu dan kini adalah era Ismail Sabri, dengan itu tidak harus sama sekali ada perasaan atau “jiwa perasan” dalam dirinya atau penyokongnya untuk melihat Ahli Parlimen Pekan itu kembali semula sebagai Perdana Menteri.

Perasaan atau “jiwa perasan” demikian hanya akan membunuh peluang UMNO dan BN dalam PRU15 akan datang, sekaligus juga membunuh masa depan Ismail Sabri kerana seolah-olah beliau sedang disaingi daripada dalam partinya sendiri.

Tiada Najib akan menyebabkan kesan 1MDB dapat diminimakan ke atas Ismail Sabri dan mampu memberi laluan lebih mudah kepada BN mencari kemenangan. – ShahbudinHusin 07/07/2022.



No comments: