JIKA PINDAAN PERLEMBAGAAN UMNO DITOLAK ROS, INI MASA TERBAIK UNTUK ZAHID HAMIDI UNDUR DIRI


 Semalam Jabatan Perdaftar Pertubuhan atau RoS memaklumkan bahawa keputusan sama ada pindaan perlembagaan UMNO akan dilulus atau ditolak bakal diketahui selewat-lewatnya pada 16 Julai.

Pemakluman RoS itu muncul berikutan tanda tanya yang kian meningkat daripada UMNO sendiri berhubung status pindaan yang diluluskan dalam PAU Khas pada 15 Mei lalu.

Pindaan itu menetapkan pemilihan UMNO hanya akan diadakan selepas enam bukan PRU dilangsungkan.

Disebutkan pindaan itu dibuat untuk mengelakkkan berlakunya perpecahan dalam UMNO menjelang setiap kali PRU diadakan.

UMNO wajib mengadakan pemilihannya setiap tiga tahun dengan tempoh lanjutan yang dibenarkan sebelum ini ialah selama 18 bulan.

Tetapi, dengan pindaan terbaru ini yang dilakukan oleh UMNO dibawah kepimpinan Zahid Hamidi, ia bermakna setiap PRU selepas ini mesti dilangsungkan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti diadakan.

Namun demikian, meski pindaan itu telah diluluskan, ia masih tertakluk kepada kelulusan RoS yang harus membuat keputusan sama ada menolak atau meluluskannya dalam tempoh 60 hari selepas PAU Khas diadakan.

Jadi, sekarang ini ramai orang, terutamanya Zahid Hamidi, amat berdebar-debar menanti keputusan RoS itu.

Setakat ini, jangkaan pelbagai pihak berhubung keputusan RoS itu terbahagi kepada tiga kategori:-

Pertama, pindaan itu mendapat kelulusan RoS yang bermakna PRU15 akan diadakan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti.

Kedua, pindaan itu ditolak RoS dan ini bererti UMNO mesti mengadakan pemilihan parti sebelum 29 Disember tahun ini.

Ketiga, pindaan itu diluluskan, tetapi hanya berkuatkuasa setelah UMNO mempunyai barisan kepimpinan MT yang baru.

Dalam erti kata lain, UMNO mesti mengadakan pemilihan parti terlebih dahulu untuk memilih barisan MT dan pindaan itu tidak boleh dikuatkuasakan pada PRU15, sebaliknya hanya berkuatkuasa pada PRU16 akan datang.

Jika pilihan pertama menjadi keputusan RoS, ia adalah suatu kemenangan kepada Zahid Hamidi dan mereka yang menyokongnya atau dikenali juga sebagai kluster mahkamah UMNO.

Keputusan itu dengan sendirinya akan menjadikan PRU15 terpaksa diadakan terlebih dahulu sebelum pemilihan UMNO, sekaligus membolehkan Zahid Hamidi terus kekal sebagai Presiden parti semasa pilihan raya nanti diadakan.

Tetapi, jika kategori kedua atau ketiga menjadi pilihan RoS di mana dalam kedua-dua kategori itu memerlukan pemilihan UMNO diadakan terlebih dahulu berbanding PRU15, maka berikutan daripadanya Zahid Hamidi tiada pilihan lain melainkan perlu berundur diri secara terhormat.

Dengan pemilihan parti harus didahulukan sebelum PRU15, inilah masa yang terbaik untuk UMNO memilih barisan kepimpinan barunya sebelum berhadapan dengan pengundian daripada rakyat dalam PRU15.

Oleh kerana Ismail Sabri Yaakob telah memegang jawatan Perdana Menteri serta dimuktamadkan sebagai “poster boy” BN bagi PRU15, atas apa pertimbangan sekali pun, beliau semestinya wajib dijadikan sebagai Presiden UMNO untuk berdepan PRU15 itu.

Zahid Hamidi yang bukan “poster boy”, malah sibuk dengan turun naik mahkamah dengan sendirinya sudah tidak relevan lagi untuk terus mempertahankan jawatannya.

Kalau Zahid Hamidi benar-benar ikhlas mahu melihat BN menang dan UMNO tidak berpecah menjelang PRU15, tiada laluan paling bermaruah mesti dilakukannya melainkan memberi laluan kepada Ismail Sabri.

Jika bertanding juga yang sudah tentu berpotensi menyebabkan perpecahan dalam UMNO akan berlarutan sehingga PRU15, malah mungkin menyumbang kepada kekalahan BN, ini bermakna Zahid Hanidi yang tidak mahu berundur itulah yang menjadi penyebab utamanya. – ShahbudinHusin 08/07/2022.



No comments: