Data tak sokong penurunan jumlah kes Covid-19, kata Anwar


Jika sains tidak dipatuhi pada saat ini seperti sikap kerajaan PN sekarang, maka pengorbanan rakyat sepanjang tempoh PKP adalah sia-sia, kata Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam berkongsi statistik Covid-19 dengan berkata, data yang tersedia kepada umum tidak menyokong penurunan jumlah kes harian baru-baru ini.

Mengulas mengenai penurunan kes daripada 9,020 pada 29 Mei kepada 4,949 pada Isnin, Anwar berkata, ini bermakna terdapat “kesenjangan dari segi data sekiranya diambil kira kadar kes positif dengan kadar kematian dalam tempoh sama”.

Kata beliau, data umum tidak menggambarkan penurunan sebenar sebanyak 45% jumlah kes harian kerana penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) yang berterusan dan penularan kes Covid-19 yang parah menunjukkan sebaliknya.

Beliau menyatakan sebanyak 126,480 ujian saringan telah dilakukan pada 29 Mei dan kadar pengujian meningkat sebanyak 166% dalam 15 hari kebelakangan ini.

Bagaimanapun kadar kes harian meningkat 104% dalam tempoh yang sama dan kadar kes positif hampir atau melebihi 7% pada minggu pertama Jun.

Sejak 29 Mei katanya, jumlah kes harian menurun 45% dan jumlah ujian harian juga menurun 44%.

“Kadar kes positif meningkat tiga hari berturut-turut dan secara puratanya sebanyak 6.67% untuk tujuh hari kebelakang. Di sesetengah negeri, kadar kes positif adalah setinggi 13%,” katanya.

Katanya, amat mudah bagi kerajaan untuk mengelabui pandangan umum tentang keparahan situasi wabak di negara ini melalui ”data yang selektif dan tidak seimbang”.“Ia juga tidak mustahil untuk data ini dimanipulasi bagi menggambarkan virus itu sedang merebak pantas bagi mewajarkan langkah darurat. Namun, tidak cukup pantas untuk mengakui kelemahan mereka dalam mengawal dan membendung wabak,” katanya.

“Adakah jumlah (jangkitan) harian melebihi 10,000 kes? Satu-satu cara untuk memastikannya adalah melalui penggunaan data dan sains.

“Jika kita pergiatkan ujian dan mengesan kes baharu, maka kita mampu untuk asingkan mereka, lakukan pengesanan kontak dan memberi dukungan perubatan kepada yang dijangkiti.

“Sebaliknya jika kita pertingkatkan kadar ujian dan tidak mengesan kes baharu, maka logiklah untuk mengatakan penularan wabak ini sedang menurun.”

Beliau berkata, ramai pakar perubatan membangkitkan persoalan ini tetapi Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mengendahkannya.

Katanya, pengurusan wabak ini tidak patut dipolitikkan.

“Pertimbangan politik dan nafsu serakah individu akan terus mempengaruhi strategi membendung wabak dan ini adalah jalan kehancuran kerana kesannya akan ditanggung rakyat dan ekonomi negara akan terus merudum.

“Jika kita tidak patuhi sains saat ini dan itulah sikap kerajaan PN ini, maka pengorbanan rakyat sepanjang tempoh PKP (perintah kawalan pergerakan) ini adalah sia-sia. Virus ini akan terus merempuh dan mengorbankan banyak nyawa.

“Harus ada perubahan tuntas dalam strategi membendung wabak. Salah satu cara untuk keluar dari (wabak) ini adalah dengan bersandarkan kaedah saintifik, perkongsian data, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

“Kita tidak akan berjaya tanpa kekuatan rakyat. Ini hanya akan berlaku bil kepercayaan dan keyakinan antara rakyat dan kerajaan dapat dipulihkan,” katanya.

No comments: