Tian Chua dikehendaki lepas jawatan kerajaan atau tindakan tegas
Meskipun Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua hanya dikenakan tindakan amaran dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR beberapa hari lalu namun beliau diarahkan meletak jawatan sebagai pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Menurut The Malaysian Insight, arahan tersebut dinyatakan dalam surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail kepada Tian Chua.
Dalam surat bertarikh 29 Jun itu, Saifuddin berkata Majlis Pimpinan Pusat sehari sebelumya telah memutuskan Tian Chua mesti melepaskan jawatan lantikan politik di bawah kerajaan Perikatan Nasional, atau berdepan tindakan tegas.
Arahan itu menyusul pemecatan lima pemimpin PKR yang rapat dengan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali pada 28 Jun, termasuk ketua Wanita PKR Haniza Talha; ketua Wanita PKR Sabah Rahimah Majid; ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nur Zarina Zakaria; dan dua Adun Pulau Pinang, Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Nibong Tebal).
Manakala Tian Chua dan dua yang lain, iaitu Pengarah Komunikasi Wanita Pulau Pinang Carolyn Khor dan Adun Machap Jaya Ginie Lim diberi amaran.
Tindakan disipilin tersebut dipercayai sebahagian daripada langkah PKR untuk menyingkir penyokong Azmin menjelang pilihan raya.
Tian Chua yang dilantik sebagai pengerusi MPC oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 26 April tahun lepas, mengesahkan menerima surat arahan letak jawatan itu menerusi e-mel pada Rabu.
“Siapa sahaja yang sebarkan ini (surat) memang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab,” kata bekas ahli Parlimen Batu itu kepada The Malaysian Insight menerusi mesej WhatsApp.
Beliau bagaimanapun enggan menyatakan sama ada akan mematuhi arahan parti supaya letak jawatan pengerusi MPC.
Selasa lalu, Tian Chua melancarkan Laporan Produktiviti Nasional 2020 bersama Azmin, yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri.