WHO isytihar koronavirus kecemasan global
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan kecemasan global terhadap koronavirus yang tersebar dari China berikutan peningkatan mendadak kematian dan jangkitan baharu semalam.
Menurut Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat di Geneva keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat mengenainya.
“Kebimbangan kami yang paling besar adalah potensi virus itu tersebar ke negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah,”
“Kita semua mesti bertindak bersama sekarang untuk mengekang lagi penyebaran … Kita hanya boleh menghentikannya bersama-sama,” katanya dipetik.
Tedros bagaimanapun berkata sekatan perjalanan dan perdagangan dengan China tidak diperlukan untuk membendung penyebaran virus itu, yang kini merebak ke lebih 15 negara lain di seluruh dunia.
Banyak negara menyeru rakyat mereka agar tidak melawat China, manakala sesetengahnya mengharamkan kemasukan pelancong dari bandar Wuhan, pusat virus itu mula-mula muncul.
Amerika Syarikat melaporkan kes pertama apabila seorang pesakit dijangkiti virus itu daripada orang lain di Amerika – seorang lelaki di Chicago yang jatuh sakit selepas dijangkiti daripada isterinya, yang telah pergi ke Wuhan.
Syarikat penerbangan mula membatalkan penerbangan ke China pada Rabu, dan lebih banyak mengikuti langkah itu semalam.
Israel menyekat semua penerbangan dari China, manakala Rusia berkata ia menutup sempadan timur jauh dengan China akibat wabak itu.