TETAPKAN TARIKH, PERGOLAKAN DALAMAN PH PASTI KEMBALI TENANG.



Beberapa perkembangan dalam PKR kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak tentang peluang Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, meskipun ia merupakan ketetapan serta konsensus PH.

Antara perkembangan tidak berapa baik itu ialah pergeseran berterusan antara Anwar dengan timbalannya, Azmin Ali; surat tunjuk sebab Lembaga Disiplin kepada Zuraida Kamaruddin yang memungkinkannya dipecat daripada PKR serta saman Saifuddin Nasution Ismail terhadap Zuraida.

Mereka bimbang pergeseran itu akhirnya akan menyebabkan PKR berpecah, seterusnya bukan saja akan melambatkan proses peralihan kuasa, bahkan mungkin menggagalkannya sama sekali.

Benarkah begitu?

Harus difahami, sebagaimana yang disebut oleh Saifudin sendiri, peralihan kuasa adalah ketetapan PH dan ia tiada kena mengena dengan masalah yang dihadapi oleh PKR.

Bermakna, selagi PH berpegang kepada ketetapan tersebut dan tiada perubahan dilakukan, proses peralihan kuasa adalah janji yang mesti ditunaikan.

Lebih daripada itu, janji peralihan kuasa kepada Anwar juga adalah sebahagian daripada janji dalam manifesto PH dalam PRU14 yang lalu.

Lagi pula, jika diteliti, pergolakan yang berlaku dalam PKR adalah sesuatu yang sengaja dirancang untuk melambatkan, atau tidak mustahil, untuk menafikan terus janji peralihan kuasa kepada Anwar.

Ia sebahagiannya kerana janji peralihan kuasa itu tidak menetapkan tarikh yang khusus bila ia mesti dilakukan, walaupun Tun Mahathir Mohamad berkali-kali mengatakan hanya mahu menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja.

Berikutan ketiadaan tarikh itu, cakap Tun Mahathir sering berubah-ubah dengan terakhir mengatakan penyerahan kuasa hanya akan berlaku selepas Sidang Apec 2020 pada November nanti.

Blog ini sudah banyak kali menulis bahawa jika Azmin Ali tidak dilantik oleh Tun Mahathir sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan kekal sebagai Menteri Besar Selangor, apa yang terjadi dalam PKR hari ini pasti tidak akan berlaku.

Pergeseran itu bermula kerana Tun Mahathir, di sebalik sudah terikat dengan janji penyerahan kuasa kepada Anwar dan mulutnya sendiri sering basah dengan kata-kata akan menunaikan janji tersebut, tetapi dari semasa ke semasa beliau masih cuba menonjol-nonjolkan Azmin untuk tujuan mewujudkan persaingan kepada Anwar dalam PKR.

Mahu tidak mahu, sejujurnya harus diakui bahawa Tun Mahathirlah pencetus kepada pergeseran yang berlaku dalam PKR sekarang ini.

Pergeseran itu bukan disebabkan kelemahan Anwar sebagai Presiden PKR atau ketidakmampuannya memimpin parti, tetapi kerana ada pimpinan dalam parti itu sendiri yang mudah lupa diri, tidak mencermin kepada asas perjuangan reformasi serta mula terbuai dengan jawatan dan kemewahan yang digula-gulakan oleh Tun Mahathir.

Maka, hanya ada satu cara mudah untuk menangani semua pergeseran dalam PKR sekarang ini – kembali kepada janji peralihan kuasa dan Majlis Presiden mesti segera menetapkan tarikh khusus untuk Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Apabila sudah terang dan jelas bila Anwar akan mengambil alih kuasa, atau lebih khusus setelah tiada lagi kelibat Tun Mahathir di kerusi Perdana Menteri, PKR dengan sendirinya akan aman damai, tenang dan bersatu semula.

Ini kerana tiada lagi kiblat lain dalam PKR dan Anwar akan diterima oleh ahli ahli dan pimpinan parti itu tanpa banyak hal.

Kalau tak percaya, cubalah lakukannya?

Lebih penting daripada itu, segera menetapkan tarikh peralihan kuasa juga adalah resipi terbaik untuk memastikan PH terus stabil dan berpotensi mengekalkan kemenangan dalam PRU15 akan datang. (ShahbudinHusin 30/01/2020)