USUL UNDI PERCAYA KEPADA MAHATHIR TINDAKAN NODAI KONSENSUS PERALIHAN KUASA




Sama ada usul undi percaya kepada Perdana Menteri benar-benar akan berlaku atau cuma sekadar spekulasi, tetapi itulah yang menjadi perbualan hangat di arena politik negara kebelakangan ini.
Dikatakan usul tersebut akan dibentangkan dalam sesi Parlimen pada Mac ini dengan tujuan memberi mandat kepada Tun Mahathir Mohamad terus duduk di kerusi empuk Perdana Menteri dengan pendapatan lebih RM100 ribu sebulan sehingga habis penggal atau sampai tahun 2023.
Sehingga ini tidak dipastikan siapa yang akan membawa usul itu, namun beberapa pihak yang rapat dengan Tun Mahathir tidak menolak kemungkinan tersebut.
Pas, melalui Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan setakat ini adalah antara yang paling awal menyatakan sokongan terhadap usul percaya kepada Perdana Menteri itu.
Perlukah usul percaya kepada Perdana Menteri dibentangkan di Parlimen?
Untuk makluman, PH berjaya membentuk kerajaan selepas menumbangkan BN pada PRU14 lalu adalah melalui gabungan sokongan PKR, DAP, Amanah, Bersatu serta Warisan.
Berdasarkan kedudukan terkini, termasuk penghijrahan 13 Ahli Parlimen UMNO yang melompat menyertai Bersatu, PH sekarang memiliki 139 sokongan Ahli Parlimen daripada jumlah keseluruhan 222 Ahli Parlimen.
Dalam erti kata lain, kedudukan PH sebagai kerajaan dan keberadaan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah stabil dan tidak tergugat sama sekali.
Lalu, untuk apa usul undi percaya mahu dibentangkan?
Usul undi percaya itu, jika menjadi kenyataan, tidak lain hanyalah ilham daripada cetusan hati yang tamak, dengki, dan iri hati golongan pengampu Tun Mahathir semata-mata.
Mereka tamak kerana tidak puas-puas mahu menggondol nikmat daripada kedudukan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, sambil dengki dan iri hati kepada Anwar Ibrahim yang sudah pun dinamakan sebagai pengganti.
Mereka ternampak semakin bimbang dan mulai sesak nafas dengan tempoh peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar yang hampir tiba, seolah-olah merasakan dunia akan kiamat selepas Malaysia memperolehi Perdana Menteri baru nanti.
Maka, usul undi percaya itu adalah usaha terbaru mereka untuk melanjutkan tempoh Tun Mahathir sehingga habis penggal setelah pelbagai desakan serta hasutan agar Anwar mengemukakan usul undi tidak percaya sepertinya tidak mungkin menjadi kenyataan dan telah membuahkan kekecewaan.
Bagi Anwar, tiada keperluan sama sekali untuk beliau mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Tun Mahathir kerana janji konsensus mengenai peralihan kuasa kepadanya sudah pun dipersetujui sebelum PRU14 lagi.
Menjelang dua tahun Tun Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri pada Mei ini, Anwar hanya perlu sedikit bersabar menanti peralihan kuasa dilaksanakan dengan aman, tertib serta mengikut janji yang sudah dipersetujui itu.
Dalam aspek lain, hendaklah juga disedari bahawa berikutan konsensus peralihan kuasa sudah pun dimuktamadkan dalam PH, membawa usul undi percaya dengan tujuan melanjutkan tempoh Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal adalah jelas suatu cubaan mencabuli serta mengengkari perjanjian itu.
Dalam perjanjian peralihan kuasa itu, telah dinyatakan bahawa Tun Mahathir hanyalah Perdana Menteri sementara sehingga Anwar dibebaskan daripada penjara dan mendapat pengampunan penuh daripada Yang Dipertuan Agong.
Secara tidak langsung perjanjian itu bermaksud Tun Mahathir bukanlah Perdana Menteri sehingga habis penggal, tetapi cuma untuk sebahagian penggal dan mesti melakukan serah kuasa kepada Anwar sebelum tibanya PRU15.
Termasuk Tun Mahathir dan pengampu-pengampunya, susahkah mahu memahami konsensus perjanjian itu?
Bagaimanapun, untuk mengelakkan kemungkinan usul percaya itu daripada menjadi kenyataan dan merisikokan PH jadi berantakan akhirnya, tanggungjawab kini terletak di tangan Majlis Presiden untuk setidak-tidaknya sebelum Mac ini, mesti menetapkan tarikh khusus peralihan kuasa dengan segera.
Hanya setelah adanya tarikh khusus peralihan kuasa saja yang dapat mengelakkan usul undi percaya itu daripada dibawa oleh sesiapa di Parlimen Mac ini. (ShahbudinHusin 31/01/2020)