Bee Yin ikrar tutup semua kilang haram di Pasir Gudang

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor untuk melaksanakan operasi bersepadu bagi mengesan dan menutup semua kilang haram di Pasir Gudang, Johor. 

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, orang ramai juga diminta untuk melaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) jika terdapat sebarang maklumat mengenai aktiviti kilang haram di daerah tersebut.

“Dalam masa satu bulan ini, kita akan laksanakan operasi bersepadu untuk tutup semua kilang-kilang haram di Pasir Gudang. 

“Saya juga ingin meminta ahli-ahli dewan dan rakyat di Pasir Gudang untuk melapor kepada Jabatan Alam Sekitar jika ada maklumat tentang kilang-kilang haram.

“Kita akan pergi dan tutup kilang-kilang (haram) ini,” tegasnya pada sidang Parlimen, hari ini. 

Beliau berkata demikian menjawab kebimbangan kononnya kerajaan seolah-olah lambat bertindak menangani isu berkenaan. 

Mengulas lanjut, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri berkata, beliau akan sentiasa turun padang bagi memantau keadaan di Pasir Gudang. 

“Saya akan pergi Pasir Gudang setiap minggu, saya harap dapat pergi bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang (Hassan Abdul Karim),” katanya. 

Tambahnya lagi, operasi pemeriksaan, pemantauan serta penguatkuasa oleh kementerian dan jabatan yang berkaitan telah meningkat sejak insiden pencemaran Sungai Kim Kim. 

“Selepas insiden Sungai Kim Kim, operasi penguatkuasaan meningkat 300 peratus… pemeriksaan, pemantauan serta penguatkuasa telah ditingkat.

“Tetapi apa yang kita perlu adalah anjakan paradigma, seperti kita perlu ada stesen otomatik, jalankan kajian daya dukungan,” ujarnya.