AS, Singapura setuju pulangkan wang 1MDB
Pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Singapura bersedia memulangkan semula lebih AS$200 juta (RM830 juta) wang dipercayai hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Malaysia, lapor Bloomberg.
Laporan memetik dua sumber arif dengan kes tersebut yang berkata pemulangan wang itu dijangka berlaku seawal minggu depan.
Jumlah itu termasuklah AS$140 juta daripada jualan pegangan dalam Park Lane Hotel, New York dan AS$60 juta daripada bayaran penyelesaian kes dibuat penerbit filem Wolf of Wall Street.
Pakatan Harapan sebelum ini memohon kerjasama negara asing seperti Singapura dan Switzerland untuk mengesan dan merampas AS$4.5 bilion dana yang dipercayai diseleweng daripada dana kekayaan negara itu.
Bulan lepas, Putrajaya berjaya menjual kapal persiaran mewah Equanimity- yang sebelum itu jadi milik hartawan yang kini jadi orang buruan Low Taek Jho- dengan harga AS$126 juta.
Low dianggap banyak pihak sebagai dalang skandal kleptokrasi terbesar pernah disaksikan dunia itu. Beliau berulang kali menafikan tuduhan itu.
Pihak berkuasa Singapura juga dilaporkan Bloomberg bersedia memulangkan semula S$35 juta berkaitan 1MDB yang diserahkan bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng dan keluarganya.
September lalu, Mahkamah Singapura memulangkan S$15.3 juta (RM45.9 juta) yang diseleweng daripada 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International.
Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) adalah agensi penguatkuasa pertama dunia yang bertindak ke atas kesalahan berkaitan 1MDB, menutup dua bank persendirian pada 2016 dan mendenda lapan bank lagi sebanyak S$30 juta (RM90 juta). –