12 PENCAPAIAN KEMENTERIAN PENGGUNA SELAMA SETAHUN DALAM KERAJAAN PH


1. Menggerakkan Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi menangani isu sara hidup rakyat.
Antara pelaksanaan dasar yang dihasilkan Majlis ini termasuklah pas tanpa had My100 bagi perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel, perluasan program Foodbank Malaysia ke IPTA dan penubuhan Jawatankuasa Tindakan E-Dagang Kebangsaan bagi mengurangkan kos sara hidup dengan menggalakkan perniagaan e-dagang;
2. Melancarkan program Foodbank Malaysia.
Program ini bertujuan menyelamatkan lebihan makanan dan menyalurkan bantuan makanan kepada golongan yang memerlukan. Sejak program ini dilaksanakan, sebanyak 113,756 isi rumah telah menerima manfaat dan 1,156 metrik tan makanan berjaya diselamatkan. Program Foodbank selanjutnya diluaskan ke peringkat IPTA. Setakat ini, sebanyak 2,200 mahasiswa mendapat bantuan makanan berterusan di 6 IPTA;
3. Pemeriksaan premis dan pembukaan kertas siasatan secara agresif oleh Bahagian Penguatkuasa.
Nforceteam Kpdnhep telah melakukan pemeriksaan dan pemantauan secara agresif dengan pemeriksaan 549,475 premis dan pembukaan 11,281 kertas siasatan dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM 49.04 juta. Daripada kesemua kes itu, sebanyak 8,264 kompaun telah dikeluarkan dan denda dianggarkan sebanyak RM 2.07 juta;
4. Memulakan 332 kedai i-KEEP seluruh negara.
Inisiatif Kedai Ekonomi Penguna (i-KEEP) dilancarkan pada 29 November 2018 dan bertujuan menjual barangan keperluan harian pada harga 2%-20% lebih murah daripada harga pasaran kepada pengguna. Program i-KEEP dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan 10 syarikat peruncitan dan koperasi. Setakat ini, sebanyak 332 kedai i-KeeP beroperasi di seluruh negara;
5. Penstabilan harga petrol RON 95 kepada RM 2.08 dan Diesel kepada RM 2.18.
Kabinet pada 27 Februari 2019 bersetuju untuk meletakkan paras had harga petrol RON 95 pada RM 2.08 seliter;
6. Melaksanakan kajian rantaian bekalan barangan terpilih.
Kajian ini bagi memahami lapis rantaian dan elemen yang terlibat sebelum harga akhir sesuatu produk atau perkhidmatan dijual kepada pengguna. Kajian ini akan membantu kerajaan dalam mencapai keputusan dan merangka dasar mengurangkan kos sara hidup dengan lebih efektif;
7. Membangunkan usahawan tempatan melalui Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia (KBBM) dan SSM Biz Grant.
Sebanyak RM 20 juta diperuntukkan bagi KBBM sebagai usaha merancakkan industri barangan tempatan. Anggaran perbelanjaan RM 20 juta merangkumi penembusan pasaran melalui penyenaraian tetap produk tempatan di pelbagai platform, promosi dan pengiklanan produk tempatan serta penganjuran karnival jualan barangan tempatan di seluruh negara.
Program Biz Grant oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (Laman Rasmi) pula bertujuan membantu usahawan tempatan dengan pemberian geran bernilai RM 3,000 seorang. Jumlah keseluruhan geran bagi program ini adalah RM 10 juta dan setakat 31 Disember 2018, seramai 2,634 usahawan telah menerima geran tersebut.
8. Kolaborasi bersama AirAsia bagi mempromosi produk buatan tempatan.
AirAsia telah bersetuju untuk terlibat sama dalam Kempen Beli Barangan Malaysia dengan memberikan ruang kepada 550 produk tempatan untuk diketengahkan melalui platform-platform milik AirAsia iaitu menu dalam penerbangan, restoran francais Santan dan T&Co serta platform e-commerce Ourshop dan ROKKI. AirAsia juga bersetuju mengecualikan produk-produk tempatan tersebut daripada caj penyenaraian (RM5,000) bagi platform e-commerce mereka;
9. Pengenaan keputusan cadangan penalti terhadap kes tipuan bida yang pertama di Malaysia.
Tipuan bida merupakan kesalahan serius di bawah Akta Persaingan 2010 apabila dua atau lebih pembida dalam sesuatu tender bersepakat mengganggu proses persaingan. Pada 5 Mac 2019, The Malaysia Competition Commission (MyCC) telah mengenakan penalti sejumlah RM 1.94 juta kepada lapan syarikat yang didapati terlibat dalam aktiviti tipuan bida;
10. Memperluaskan fungsi Price Catcher.
Fungsi aplikasi Price Catcher, iaitu platform yang memudahkan pengguna membuat semakan atau perbandingan harga barangan telah diperluaskan dengan penambahbaikan paparan perbandingan harga, penambahan fungsi perkongsian harga oleh pengguna di samping hebahan promosi daripada peniaga. Aplikasi ini juga telah menambah bilangan item barangan paparan sedia ada kepada 432 barangan;
11. Pelaksanaan Corruption Risk Management.
KPDNHEP menjadi salah satu kementerian terawal melaksanakan Corruption Risk Management System. Seramai 11 pegawai penguatkuasa juga telah diberikan sijil Penghargaan Khas atas tindakan menolak rasuah ketika menjalankan tugas pada 20 November 2018; dan
12. Pengiktirafan sebagai Kementerian paling kerap mengadakan libat urus bersama industri.
KPDNHEP telah mendapat tiga anugerah pengiktirafan oleh Malaysian Productivity Corporation dalam pelaksanaan ‘Good Regulatory Practice’. Kementerian juga telah mencatatkan bilangan engagement tertinggi bersama industri sebelum memperkenalkan rang undang-undang atau peraturan baharu.
KPDNHEP-Laman Rasmi komited untuk terus melaksanakan dasar yang membantu rakyat dan merancakkan kegiatan domestik ekonomi tempatan. KPDNHEP akan terus mengumumkan dasar dan inisiatif terbaru dari masa ke masa sebagai memenuhi aspirasi rakyat sesuai dengan objektif kementerian.
Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

No comments: