KENYATAAN MEDIA STEVEN SIM

Kenyataan media Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong

04 Mei 2019 | Kuala Lumpur

Saya telah menghubungi Mufti Negeri Perlis, Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dan berbicara berkenaan laporan media baru-baru ini yang kononnya memetik kenyataan beliau tentang DAP dan Islam.

Dr Asri telah memberitahu saya bahawa kenyataan yang dilaporkan media adalah berlainan daripada apa yang beliau katakan sebenarnya.

Setiausaha Agung DAP, Sdr Lim Guan Eng juga telah mengundang Dr Asri untuk bertemu dan berbincang, dan beliau telah menyatakan kesudian untuk menerima jemputan Sdr Lim tersebut.

DAP sentiasa bersedia menerima teguran dan nasihat dengan lapang dada, demi kebaikan bersama dan juga kemaslahatan semua, namun ada keperluan untuk menolak fitnah pihak pembangkang selama ini kononnya DAP menentang syiar dan syariat Islam.

Kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh Ketua Menteri dari DAP bukan sahaja memartabatkan agama Islam di negeri tersebut melalui penggandaan peruntukan kepada hal ehwal Islam berbanding semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional, malah turut melaksanakan program-program seperti pemberian elaun bagi menggalakkan bilangan huffaz dalam negeri, peruntukan tahunan kepada sekolah agama rakyat, dan membangunkan industri halal dengan menyediakan kawasan seluas 100 ekar sebagai Hab Halal.

Antara kejayaan dasar-dasar ini termasuklah penambahan bilangan huffaz daripada 103 orang pada 2008 kepada 600 orang pada masa kini, iaitu sebanyak 482% dalam tempoh sepuluh tahun. Kita juga berbangga apabila pelajar-pelajar Islam di Pulau Pinang memperoleh pencapaian KAFA terbaik di seluruh Malaysia bagi tahun 2017 dan 2018.

Kini kerajaan negeri juga sedang membangunkan perpustakaan digital Islam pertama di rantau Asia Tenggara.

Di peringkat Persekutuan, Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Sdr Lim Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP, telah memperuntukkan tambahan sebanyak RM100 juta bagi hal ehwal Islam iaitu daripada RM1.1 bilion pada tahun 2018 kepada RM1.2 bilion pada tahun 2019.

Selain itu, kerajaan persekutuan juga turut memperuntukkan RM25 juta kepada sekolah agama rakyat, dan RM25 juta lagi kepada sekolah-sekolah pondok berdaftar. Kedua-dua institusi ini tidak mendapat sebarang peruntukan dalam Bajet 2018 di bawah kerajaan Barisan Nasional. Tambahan lagi, RM50 juta juga diperuntukan untuk 815 buah sekolah tahfiz berdaftar di seluruh negara.

Pada tahun 2019, Kementerian Kewangan turut menyalurkan RM5 juta kepada Kompleks Nasyrul Quran untuk kerja-kerja mencetak Al-Quran. Pada masa yang sama, Kementerian Kewangan turut menyuntik dana berjumlah RM17.8 bilion demi memulihkan Tabung Haji selepas penyelewengan oleh kerajaan terdahulu.

DAP senantiasa menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan berdasarkan Perlembagaan negara, namun difitnah oleh pihak pembangkang sebagai anti-Islam, sedangkan kleptokrat dan perasuah negara pula disanjung oleh mereka.

Saya berharap semoga silaturahim antara DAP dan Dr Asri dapat dikekalkan dengan meneruskan perbincangan, dialog dan persefahaman sesama kita.

STEVEN SIM

Ahli Parlimen Bukit Mertajam

No comments: