KUALA LUMPUR 15 Sept. - Kelab Anwar Ibrahim (AIC) menyokong keputusan Datuk Danyal Rajagopal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.
Berikut adalah kenyataan penuh AIC:
Salam Reformasi!
Anwar Ibrahim Club (AIC) menyambut baik dan memberi sokongan penuh kepada Dato Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam PRK P132 Port Dickson.
Menyorot kembali kepada Muafakat Pakatan Harapan yang ditandatangani bersama keempat-empat parti pada 6 Januari 2018 secara jelas menyatakan:
“Untuk memperkukuh kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan dan memperteguh muafakat antara parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan
Pengampunan Diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan segera, selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8;”
Kini sudah tiba masanya beliau diangkat semula martabatnya dan kembali semula ke Dewan Rakyat dan seterusnya diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8.
AIC mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih terhadap pengorbanan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Laksamana Muda (B) Danyal Balagopal Abdullah kerana sanggup mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi membolehkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi parlimen tersebut. Semestinya ini merupakan sebuah penghormatan besar buat rakyat Negeri Sembilan melalui representasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson.
Sementara itu, AIC memandang serius terhadap mana-mana pihak yang cuba mewujudkan keraguan ke atas keperluan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk aktif di persada politik tanah air. Malah adalah sesuatu yang sangat mendukacitakan dalam keadaan Muafakat Pakatan Harapan yang terang lagi bersuluh menekankan strategi keberadaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di pentas politik tanah air melalui penglibatan selaku Ahli Parlimen, seakan-akan diketepikan sebegitu sahaja. Sewajarnya dalam keadaan sekarang, fokus ke arah pengukuhan Pakatan Harapan melalui kemenangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di P132 Port Dickson harus diberi keutamaan, berbanding mempersoalkan malah mewujudkan keraguan yang tidak semena-mena sifatnya.
AIC yakin bahawa kemenangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim nanti akan menambah nilai kepada Pakatan Harapan, dimulai dengan reformasi institusi Parlimen sebagaimana yang dihasratkan oleh Pakatan Harapan.
Ke arah mencapai hasrat ini,
AIC dengan ini menyatakan komitmen sepenuhnya bagi membantu, menyelaras dan menurunkan sukarelawan seramai mungkin untuk berkampung pada PRK P132 Port Dickson nanti.