Subsidi petrol bersasar kenderaaan 125cc, 1300cc ambil masa
Kerajaan Pakatan Harapan mengulangi hasrat untuk melaksanakan subsidi petroleum bersasar mengikut janji manifesto pilihan raya.
“Kerajaan akan memberikan subsidi minyak pada kadar yang sesuai setiap bulan kepada golongan yang layak untuk kegunaan motosikal 125cc ke bawah dan kereta 1300cc ke bawah.
“Satu kuota yang sesuai akan ditetapkan. Mekanisme terperinci sedang dikaji dan akan diumumkan apabila ia dimuktamadkan,” kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau berkata demikian dalam jawapan parlimen bertulis Khamis sebagai menjawap soalan dari Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).
Bung menyoal tentang mekanisme yang bakal digunakan oleh kerajaan untuk menentukan kadar harga minyak mengikut harga minyak antarabangsa.
Lim mengulangi, buat masa ini, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga RON95 dan diesel pada harga RM2.20 dan RM2.18 seliter.
Sementara itu, harga RON97 akan diapungkan setiap minggu berdasarkan trend harga minyak mentah global, katanya, kerana ia dianggap sebagai produk “premium”.
Menurut Lim, kerajaan juga telah memperuntukkan RM3 bilion untuk subsidi harga petrol untuk tahun ini.
Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 berjanji untuk menyediakan subsidi petrol bersasar.