KENAPA PAS MASIH TIDAK BERANI BERTERUS-TERANG SOKONG UMNO?



Pelbagai hujah kedengaran saat ini di sebalik keputusan Pas tidak meletakkan calonnya di Sungai Kandis, meskipun secara nyatanya ia adalah bermakna parti itu mahu calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan lebih mudah dapat ditewaskan.

Dengan hasrat mahu calon PKR tewas, maka sudah terang lagi bersuluh Pas sebenarnya inginkan kemenangan berpihak kepada calon UMNO yang mewakili BN.

Dalam erti kata lain, jika dulu Pas mahu lawan UMNO, kini parti itu adalah kawan kepada UMNO.

Malangnya, tidak seperti biasa dalam adat orang berkawan, Pas masih takut-takut dan enggan berterus-terang mengenai hubungannya dengan UMNO, walaupun tindakan atau perbuatan sangat jelas ke arah itu.

Hanya beberapa jam setelah Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan mengeluarkan kenyataan tentang hasrat sebenar Pas memberi laluan kepada UMNO bertanding ialah untuk memudahkan calon PKR ditewaskan, perkara itu kemudiannya segera dinafikan oleh pemimpin Pas yang lain.

Menurut Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Dr. Ahmad Shamsuri Mokhtar, keputusan tidak bertanding itu sebenarnya dibuat atas pertimbangan pelbagai faktor, termasuk kedudukan kewangan parti.

Ia adalah keputusan Pas sendiri atas pelbagai faktor setelah mendapat pandangan daripada rakan-rakan di Selangor sendiri, ujar beliau yang juga Menteri Besar Terengganu.

Soalnya, sejak bila Pas mengamalkan sikap sedemikian?

Bukankah Pas selama ini mengamalkan sikap keras kepala dan ingin bertanding di mana-mana saja kerusi yang pernah ditandinginya?

Lagi pun, kalau tidak mahu dilihat sengaja memberi laluan kepada UMNO, bukankah lebih baik Pas meletakkan calon dalam pilihanraya itu yang juga boleh dianggap sebagai sebahagian daripada misi dakwah dan jihad sebagaimana yang kerap dilaungkan selama ini?

Tidak cukup dengan itu, melalui kenyataan oleh Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan kemudinanya pula, beliau  juga menyeru ahli dan penyokong Pas agar mengundi berasaskan pertimbangan Melayu - Islam dalam pengundian 4 Ogos nanti.

Sehubungan itu,  katanya, ahli dan penyokong Pas diarahkan membuat pilihan berpandukan pertimbangan Melayu - Islam serta kepentingan masa depan negara.

Pas juga mengambil keputusan tidak meletakkan calon di Sungai Kandis, begitu juga di Balakong nanti, adalah kerana ingin menunggu hasil post mortem PRI14 yang sedang disiapkan, tambahnya lagi.

Kenapa susah-susah berhujah berkaitan Melayu dan Islam, sedangkan kedua-dua calon yang diletakkan oleh PKR dan UMNO ialah Melayu yang beragama Islam?

Siapakah Melayu dan Islam yang dimaksudkan itu?

Apakah Pas bermaksud kerajaan Pakatan Harapan tidak mewakili Melayu dan Islam?

Sejak bila Pas begitu terikat dengan hasil post mortem sehingga tidak meletakkan calon dalam mana-mana pilihanraya?

Secara mudahnya, bukankah lebih mudah difahami jika Pas berterus-terang meminta ahli dan penyokong parti itu mengundi calon parti tertentu, baik UMNO atau PKR, berdasarkan kecenderungan serta minat Pas sendiri?

Kenapa masih perlu bersembunyi-sembunyi dan takut-takut menyatakan pendirian?

Tambahan lagi, tidakkah episod angan-angan untuk menjadi "king maker" atau  pun penasihat kepada kerajaan sudah pun berakhir dengan keputusan PRU14 yang lalu? (ShahbudinHusin 23/07/2018)

No comments: