PAS akan bantu menangkan UMNO dalam PRU14


BATU PAHAT, 6 SEPT: Sudah tiba masanya Pakatan Harapan (HARAPAN) bersiap sedia menghadapi pertembungan tiga penjuru melibatkan PAS termasuk di Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Ini kerana, PAS di bawah kepimpinan Datuk Seri Hadi Awang dilihat tidak berminat menewaskan UMNO malah membantu mereka menerusi pertandingan tiga penjuru kata ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.
Persediaan awal menghadapi pertembungan tiga penjuru katanya akan membantu HARAPAN menewaskan UMNO-Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan termasuk di negeri Johor.
Menurutnya, sikap yang dizahirkan Hadi pada saat ini jauh menyimpang dari pendirian yang telah ditunjukkan kepimpinan PAS terdahulu di bawah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan dua bekas presiden iaitu Datuk Fadzil Noor dan Tuan Guru Yusof Rawa.
“36 tahun lalu Hadi mengeluarkan ‘amanatnya’ yang menimbulkan kekacauan dalam PAS, tetapi hari ini, Hadi telah menjadi seorang yang sangat bertolak ansur  dan mempertahankan Najib dan skandal 1MDB yang telah menukar Malaysia sebagai negara kleptokrasi global’,” katanya.
Katanya, jika berlaku pertembungan tiga penjuru di Johor, PAS tidak mampu memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu kerana peratus undian kepada PAS akan menurun antara 5 hingga 8 peratus.
“Ini kerana, saya tidak percaya majoriti ahli PAS akan bersetuju dengan sokongan politik Hadi kepada Najib, isu 1MDB dan Malaysia yang telah jadi negara kleptokrasi global,” katanya.
Dalam PRU 2013, PAS memperoleh 22 peratus sokongan di Johor; bagaimanapun sokongan majoriti yang diperoleh PAS itu datang dari sokongan DAP dan PKR.
Kemenangan besar PAS di dua DUN Johor dalam PRU 2008 pula juga ekoran sokongan kuat dari DAP dan PKR kata Kit Siang.
Beliau turut mengimbau bahawa PAS tidak pernah memenangi sebarang kerusi di Johor dalam 10 PRU sejak tahun 1959 hingga 1999 kecuali pada tahun 2004 apabila PAS mendapat ‘durian runtuh’ apabila calon UMNO ketika itu tidak layak menjadi calon.
“Sepertimana yang pernah saya katakan, peralihan 10 peratus undi Melayu dan lima peratus undi bukan Melayu dari UMNO-BN kepada HARAPAN dalam PRU14 berbanding PRU13; maka, HARAPAN berpeluang memenangi peringkat Persekutuan dan negeri.
“Namun, kita perlu ada kejelasan situasi politik tanpa sebarang penangguhan – dan amat mustahak, kita perlu menjangkau 3.5 juta ahli UMNO bahawa Najib perlu ditewaskan untuk menyelamatkan Malaysia dari negara kleptokrasi global,” kata Kit Siang.
Usaha ini juga termasuk penjelasan kepada ahli-ahli PAS seluruh negara bahawa tindak-tanduk dan sikap yang ditonjolkan Hadi dengan menyokong Najib adalah sesuatu yang tidak akan dilakukan oleh Tuan Guru Nik Aziz, Datuk Fadzil Noor dan Tuan Guru Yusof Rawa

No comments: