Adun Selangor berjiwa rakyat harus sertai parti Pakatan Harapan – Mahfuz
Mana-mana Exco atau Adun Pas di Selangor yang berjiwa rakyat disaran menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan ketika Pas terpaksa keluar dari kerajaan negeri selepas berpecah dari semua parti pembangkang.
Ahli parlimen Pas Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah untuk kekal dalam kerajaan negeri Selangor penting kerana itulah mandat yang diberikan rakyat kepada mereka ketika diundi semasa Pas berada dalam Pakatan Rakyat.
“Jadi mereka perlu kekal bersama rakyat untuk mereka tidak dilihat mengkhianati mandat dan harapan rakyat,” kata bekas naib presiden Pas itu.
Menurut Mahfuz, jika Pas ada maruah parti itu perlu keluar dari kerajaan negeri segera selepas putus hubungan dengan PKR dan lain-lain parti yang memerintah kerajaan negeri Selangor sekarang.
Namun, jika mereka (Exco dan Adun) berjiwa Selangor dan mementingkan rakyat mereka akan keluar dari Pas dan menyertai salah satu parti Pakatan Harapan.
Terutama sekali selepas menteri besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri meminta Exco Pas berbuat demikian, katanya.
“Saya percaya 3 Exco dan beberapa Adun adalah berjiwa Selangor dan berjiwa bersama parti dalam Pakatan Harapan untuk membangunkan Selangor dan memastikan limpahan nikmat untuk rakyat Selangor,” kata Mahfuz.
The Star melaporkan, Azmin meminta tiga Exco Selangor agar meletakkan jawatan selepas Pas memutuskan hubungannya dengan PKR.
Ia dinyatakan oleh Azmin kepada tiga Exco Selangor bersama pesuruhjaya Pas Selangor dalam pertemuan mereka semalam. –