PAS BENAR2 SAYANG JAWATAN?




Sehingga ini, terdapat beberapa reaksi daripada pimpinan Pas berhubung kedudukan wakil mereka sebagai Exco dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Ia susulan laporan yang mengatakan Menteri Besar, Azmin Ali meminta tiga Exco Pas, Iskandar Abdul Samad, Dr. Ahmad Yunus Hairy dan Mohd Zaidy Talib, mengundurkan diri secara sukarela.

Cuma Presiden Pas, Hadi Awang yang masih belum kedengaran memberikan reaksinya lagi.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, parti itu sedia mengarahkan tiga Exco berkenaan melepaskan jawatan mereka sekiranya ada perkenan daripada Sultan Selangor.

"Bagi Pas, kita akur bahawa perlantikan Exco adalah atas perkenan Sultan Selangor, maka jika ada perkenan daripada Baginda untuk mengundurkan diri, kita akan mematuhinya," ujar beliau sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah portal berita.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Solehan Mukhyi pula pantas menyifatkan laporan berkenaan sebagai andaian dan khabar angin semata-mata.

Kata beliau, kedudukan tiga Exco Pas dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor tetap dikekalkan sehingga pembubaran DUN Selangor  dilakukan.
"Semua itu hanya andaian dan khabar angin, kita tetap pendirian untuk terus kekal kerana ia adalah mandat yang diberi rakyat dalam pilihanraya umum lalu," tegasnya.

Salah seorang Exo Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, tidak ada arahan daripada Azmin untuk beliau dan dua rakannya yang lain untuk melepaskan kedudukan mereka.

"Tidak, tidak ada arahan atau apa juga," katanya denga ringkas.

Daripada kenyataan ketiga-tiga pemimpin di atas, yang paling mudah kita fahami ialah Pas ternampak begitu sayang kepada jawatan dalam kerajaan dan seboleh-bolehnya tidak mahu melepaskannya.
Bukan kewajaran untuk berundur dan melepaskan jawatan yang mahu dibanggakan, sesuai dengan keberanian melafazkan kata-kata putus hubungan, sebaliknya ada  saja alasan, hujah dan helah yang digunakan sehingga nama Sultan Selangor pun mahu dibawa dalam kancah yang tidak seharusnya melibatkan nama Baginda.

Hakikat bahawa sistem pentadbiran negara kita ialah Raja Berperlembagaan seolah-olah cuba tidak difahami dan hanya ditafsirkan mengikut selera sendiri untuk melindungi kepentingan parti serta peribadi.

Begitu juga, soal maruah dan harga diri telah ditolak ke tepi asalkan jawatan yang disandang terus tidak diketepi.

Seharusnya, jika maruah dan harga diri yang diutama, bila sudah putus hubungan dan tanpa menunggu ada atau tidak arahan untuk mengundurkan diri, Pas patut terlebih dahulu memulakan langkah untuk pergi kerana politik bukan semata-mata jawatan, tetapi juga berkait tentang intergriti.

Apa ditunggu lagi....kecuali ia hanya menunjukkan Pas benar-benar sayangkan jawatan dan kedudukan. (ShahbudinHusin 13/05/2017).

No comments: