Umno Johor pujuk Shahrir bertanding kerana ketandusan calon – Hassan Karim
Pengerusi PKR Johor, Hasan Karim berkata, Umno ketandusan calon di negeri itu untuk diketengahkan menjelang pilihan raya umum ke 14.
Hal itu, katanya terbukti apabila Tan Sri Shahrir Samad yang mahu bersara, dipujuk berkali-kali oleh Umno agar terus bertanding di Johor.
“Saya cakna dengan situasi politik terbaharu di Johor, di mana Badan Perhubungan Umno Johor mahu Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad untuk mempertimbang semula hasratnya tidak mahu bertanding lagi.
“Umno kini dilihat sudah ketandusan calon berkaliber meskipun Shahrir sudah berulang kali mengulangi pendiriannya untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
“Ternyata Umno kini keresahan dan ketandusan pemimpin dengan kebangkitan rakyat yang mula berubah arah menyokong Pakatan Harapan di Johor. Tiada calon lainkah yang boleh diketengahkan di Johor Bahru?” tanyanya dalam satu kenyataan.
Situasi berbeza dengan Pakatan Harapan yang menurut Hasan mempunyai banyak calon berkaliber dan berwibawa untuk diketengahkan sebagai calon peringkat DUN mahu pun parlimen.
“KEADILAN Johor akan memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus adalah calon muda seiring dengan hasrat parti yang bersifat inklusif dan memberi ruang kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia.
“Berdasarkan statistik jumlah pengundi pada suku tahun kedua 2016, pengundi muda berusia antara 21 hingga 29 tahun berjumlah 1.9 juta orang. Kategori umur 30 hingga 39 tahun pula sebanyak 3.2 juta, dengan keseluruhan pengundi muda 5.1 juta daripada 13.6 juta pengundi seluruh negara. Maka, banyak perlu dilakukan untuk meraih undi orang muda.
“Apa yang penting ialah barisan calon KEADILAN untuk penggal akan datang mestilah yang terbaik, tidak dibelenggu dengan kemelut peribadi dan mengutamakan permasalahan rakyat.
“Umno Johor kini nampaknya sudah buntu dan memberi isyarat bahawa mereka tidak konsisten dengan proses transformasi yang dipelopori oleh Presiden Umno sendiri.
“Saya yakin pengundi Johor Bahru akan menilai sehabis baik siapakah yang layak sebagai wakil rakyat mereka nanti,” katanya lagi.