SALLEH SAID KERUAK SUDAH WAJIB DIHADIAHKAN CERMIN BESAR...




Selain difahami satu teguran telah ditujukan kepada Tun Mahathir Mohamad, semalam juga sebenarnya dua pemimpin UMNO telah ditegur oleh dua Sultan. 

Seorang ditegur oleh Sultan Johor dan seorang lagi ditegur oleh Sultan Selangor.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membidas cadangan seorang menteri yang mahu membanyakkan Wilayah Persekutuan melalui pengambilan tanah-tanah negeri.

Baginda menggelarkan menteri berkenaan sebagai kurang bijak kerana mungkin terlupa tentang kedaulatan sesebuah negeri itu.

"Malah hasil kerajaan Persekutuan yang dikutip adalah dari semua rakyat Malaysia dan harus diagihkan kepada semua, bukan untuk Wilayah Persekutuan saja," titah baginda.

Walaupun tidak menyebut nama, tetapi tidaklah sukar memahami bahawa menteri kurang bijak yang dimaksudkan oleh Sultan Johor itu ialah Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan yang baru-baru ini mencadangkan untuk menjadikan Pulau Pinang dan Pulau Langkawi sebagai tanah baru bagi perluasan jajahan Wilayah Persekutuan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pula menzahirkan rasa tidak berkenaan dengan tindakan menyalahgunakan kenderaan jenazah untuk tujuan demonstrasi.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan melalui Setiausaha Sulit baginda, Mohamad Munir Bani, Sultan Selangor bertitah, van jenazah adalah untuk urusan jenazah sahaja.

“Baginda tidak berkenan kenderaan jenazah tersebut disalahgunakan selain daripada urusan membawa jenazah seperti disewa untuk membuat demonstrasi atau kegunaan lain yang tidak kena mengena dengan urusan pengendalian jenazah,” katanya kenyataan itu.

Meskipun turut tidak disebut nama, namun tentulah semua orang  memahami bahawa titah Sultan Selangor itu ditujukan kepada Jamal Md. Yunos yang sebelum ini menyewa 15 van jenazah untuk mengadakan demonstrasi politik di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam.

Dalam dua teguran oleh dua Sultan itu, di mana suara Salleh Said Keruak, menteri pengampu nombor satu?

Mengapa beliau hanya menyasarkan kepada kata-kata Sultan Johor terhadap Tun Mahathir saja, tetapi tidak kepada bidasan Sultan Johor kepada Tengku Adnan dan  luahan tidak berkenan Sultan Johor terhadap Jamal Md. Yunos?

Bukankah sebagai pemimpin UMNO dan kerajaan, Salleh lebih afdal mengingatkan rakan-rakannya dalam UMNO dan kabinet terlebih dahulu jika ditegur oleh mana-mana Sultan berbanding mahukan Tun Mahathir mendengar teguran daripada Sultan Johor?

Kenapa tidak dalam masa meminta Tun Mahathir mendengar teguran Sultan Johor, Salleh bersikap adil dengan mengingatkan juga Tengku Adnan dan Jamal Md. Yunos agar turut sama melebarkan telinga kerana kedua-duanya juga ditegur sama oleh Sultan Johor dan Sultan Selangor?

Selain itu, jika Salleh agak terlupa, mungkin kerana hanya berfikir untuk mengampu saja sepanjang masa, beliau juga seharusnya menyedari mengenai beberapa ucapan Sultan Perak sebelum ini berkaitan rasuah, penyelewengan kuasa dan kehancuran bangsa akibat daripada berleluasanya gejala tidak sihat tersebut dalam negara.

Kenapa Salleh tidak pernah sekali pun memberi respon terhadap ingatan demi ingatan itu, sambil mengingatkan semua pemimpin, termasuk Perdana Menteri agar memberi perhatian dan mengendahkan apa yang diluahkan oleh Sultan Perak itu?

Tidak syak lagi bahawa Salleh, di sebalik keghairahan mengampunya, beliau sudah wajib diberikan cermin besar untuk melihat diri dan sekelilingnya terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kata-kata kepada orang lain yang berada lebih jauh di luar lingkungannya.

Lihatlah gajah yang ada di depan mata dahulu sebelum mahu meneropong kuman di seberang sungai. (SH 24/02/2017).