Umno ada hubungan dengan Parti Pekerja Korea Utara?
Umno perlu tampil menjelaskan hubungannya dengan Parti Pekerja Korea Utara (WPK) yang menjadi pemerintah negara itu, kata DAP.
Gesaan itu dibuat oleh Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim susulan bantahan oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun bersama pemimpin BN lain di kedutaan Korea Utara, semalam.
“Beliau berlagak seakan-akan pemuda yang paling patriotik, sedangkan partinya sendiri ada hubungan dengan parti pemerintah Korea Utara itu,” katanya dalam satu kenyataan media malam semalam.
Menurutnya, hubungan Umno dengan parti pemerintah negara komunis itu jelas dilihat melalui perjanjian yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Tengku Adnan telah pun menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin hubungan rapat dengan parti tersebut.
“Acara MoU ini juga telah dilaporkan oleh Utusan sendiri, dan juga Bernama pada 26 November 2014.
“Ini bukan hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tetapi melibatkan hubungan antara parti politik yang memerintah (Malaysia) dengan satu parti politik (yang memerintah Korea Utara).” katanya.
Persoalannya kata Mahdzir ialah kandungan dalam perjanjian yang telah ditandatangani itu dan adakah ia masih sah?
“Saya fikir, ahli-ahli Umno sendiri tidak tahu hubungan ini berbentuk apa.
“Sekurang-kurangnya, Tengku Adnan yang mewakili Umno semasa menandatangai MoU tersebut, boleh menerangkan kepada ahli-ahli mereka.
“Saya ingin menasihatkan Khairul Azwan, jika beliau benar-benar patriotik, beliau harus mendesak agar Umno iaitu partinya, segera membatalkan terus hubungan rapat dengan Workers’ Party of North Korea (WPK),” katanya.