BSKL Menjunam : Persatuan Pengguna Saran Najib Ambil Ikhtibar



SHAH ALAM 11 OGOS : Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disarankan agar mengkaji semula kelemahan diri hingga menyebabkan kerugian ratusan bilion ringgit yang dialami pelabur di Bursa Kuala Lumpur (BSKL) sejak Jumaat lalu.

Malah menurut Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Dr Jacob George, kerugian yang dialami pelabur itu juga didakwa berpunca daripada keengganan dari terus melabur di Malaysia berikutan bimbang dengan agenda politik yang dimainkan Umno-BN.

Sehubungan itu, Dr Jacob berkata, antara faktor utama yang menyebabkan kejatuhan nilai mata wang luar ke dalam negara adalah dari segi 'Foreign Direct Investment' (FDI) sekaligus mengakibatkan kerugian besar kepada semua sektor dalam indusrtri pada waktu ini.

Walaupun (negara) stabil politiknya, kewangannya, pemerintah dan sebagainya tetapi apa yang dibaca di dalam surat khabar tentang politik-politik fitnah, caci, mengugut menjadi satu masalah yang begitu besar," katanya memberitahu Tv Selangor.

Menurut Dr Jacob lagi, melalui kajian yang dilakukan oleh pihaknya beliau mendapati pelabur mengikuti perkembangan semasa negara, terutamanya terhadap media aris perdana yang lantang mengutarakan berita yang langsung tidak memberi manfaat kepada Malaysia.

"Ini daripada sisatan kita sendiri, bila kita jumpa pelabur-pelabur mereka selalunya membaca surat khabar berhubung analisis ekonomi kedalaman dan daripada itulah mereka nak cuba untuk melabur tetapi kita mendapati sejak tahun 2008 politik negara kita menjadi seperti 'kanak-kanak di tadika'," jelasnya.

"Ini adalah gambaran yang telah diberi kepada pelabur-pelabur."katanya.

Justeru itu, beliau memberi contoh negara serantau yang berdekatan dengan Malaysia iaitu Singapura yang telah mengambil pendekatan mengubah dasar mereka dengan begitu drastik atas kehendak rakyat yang inginkan dasar yang lebih mesra rakyat dan lebih terbuka.

Jelasnya, begitu juga di Indonesia yang kini mengamalkan konsep yang lebih matang dan tidak dikuasai oleh pemerintah sahaja.

"Contohnya Indonesia, hari ini kedudukan kewangan Indonesia akan naik dengan begitu tinggi sebab negara mereka nampak sebagai satu negara yang kuat,walaupun dulu mempunyai masalah bom dan sebagainya. Mereka telah pulihkan ekonomi dan politik mereka serta menunjukkan politik yang matang di mana instituisi kerajaan dan sebagainya tidak dikongkong," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak peranan media prokerajaan dalam memainkan peranan dalam memfitnah negara sendiri.

Katanya, ini kerana disebabkan retorik politik untuk orang-orang kampung yang tidak boleh menerima kenyataan itulah politik di negara kita kini semakin tercemar.

Ujar Dr Jacob lagi, tindakan pentadbiran Najib memberikan taraf kewarganegaraan penuh kepada rakyat asing untuk dijadikan pengundi hantu jelas menunjukkan bahawa Malaysia kini lebih senang mengamalkan 'politik sarkas' dan mengakibatkan pelabur asing keluar melabur ke negara-negara serantau seperti Filipina, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.

Tegas Dr Jacob lagi, antara isu-isu yang menjadi ikutan pelabur asing adalah dasar kerajaan yang sering kali berubah, apatah lagi dasar itu dibuat demi kepentingan politik semata.
"Ini akan membawa begitu banyak masalah di masa akan datang sebab polisi-polisi dan dasar-dasar yang kita nak buat adalah 'short-term' dan mempunyai kaitan dengan agenda politik. Pemimpin kita perlu tahu semua itu kerana mereka bukan budak kecil kerana dasar-dasar yang hendak dicapainya juga bukan untuk politik dan untuk satu-satu parti tetapi untuk negara."tegasnya.

Malah katanya, jika keadaan seperti itu akan berterusan ia boleh mengakibatkan rakyat hidup dalam keadaan sengsara serta hilang pekerjaan berikutan terlalu banyak syarikat akan ditutup.

"Bila FDI dan pelabur kita keluar ke Vietnam, Thailand akan menyebabkan banyak syarikat-syarikat akan ditutup dan keluar dari negara kita dan akan mewujudkan masalah pengganguran."katanya.

Ujarnya lagi, kegawatan ekonomi akan berlaku jika tiada pemulihan yang dibuat oleh kerajaan, seperti yang berlaku pada tahun 1998.

Malah, kerajaan juga tidak wajar menyembunyikan kenyataan sebenar terhadap apa yang berlaku terhadap kedudukan ekonomi negara.

Tambahnya, beliau turut memuji pendekatan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Selangor dalam mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan strategi serta dasar yang lebih prihatin serta mendatangkan keuntungan kepada rakyat ekali gus menarik minat dan keyakinan para pelabur.