Isu Agama : Jangan Keruhkan Keadaan, Kata Harussani


KUALA LUMPUR 11 OGOS: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengingatkan agar jangan ada pihak yang cuba mengeruhkan lagi keadaan dengan menabur sentimen agama bagi mewujudkan pertelagahan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata demikian mengulas hasil kajian yang dibuat oleh Pew's Forum on Religion and Public Life yang merumuskan Malaysia antara 10 negara teratas dalam ranking dunia yang menyekat kebebasan beragama.

"Kalau (bercakap tentang) kebebasan agama, kita tidak pernah melarang, perarakan Thaipusam kita bagi kemudahan, perakan Cina pun kita bagi kemudahan, Kristian punya sambutan Christmas pun diberi kemudahan, semua kita bagi kemudahan, kita tidak pernah sekat," katanya.

Terdahulu, gempar apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dikatakan menyerbu sebuah gereja di Damansara Utama apabila mendapat maklumat majlis makan malam yang diadakan di gereja itu dihadiri penganut agama Islam.

Hal itu kemudiannya menimbulkan pelbagai pertikaian sehinggalah pada hari ini, JAIS tampil membuat kenyataan bahawa tidak ada serbuan dilakukan pada hari terbabit melainkan pegawai jabatan itu dan polis membuat "pemeriksaan untuk memastikan kehadiran orang Islam".
"JAIS juga menegaskan bahawa perundingan yang diadakan dengan penganjur di luar dewan majlis berkenaan membuktikan tuduhan kononnya JAIS membuat serbuan, kekasaran serta pecah masuk adalah tohmahan liar semata-mata," kata pengarah JAIS, Marzuki Hussin.

Sementara itu, portal Malaysiakini hari ini melaporkan, hasil kajian Pew's Forum on Religion and Public Life yang berpangkalan di Washington DC selama tiga tahun bermula tahun 2006 hingga 2009 mendapati, Malaysia merupakan antara 10 negara teratas yang mengekang kebebasan agama yang berbeza.

Menurut hasil kajian itu lagi, Malaysia kini berada dalam kelompok sama dengan negara-negara seperti Mesir, Iran, Arab Saudi, Uzbekistan, China, Maldives, Burma, Eritrea dan Indonesia.

Malah Malaysia juga dikatakan negara kelima yang mencatatkan peningkatan ketara dalam isu sekatan kebebasan beragama ini.

Antara faktor yang menjadi penyumbang kepada kedudukan tersebut ialah kes rampasan buku dan CD berkaitan agama Kristian seperti kes Jill Ireland di mahkamah dan pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian termasuk akhbar The Herald.

Malah ia juga meliputi tindakan ke atas pengikut mazhab Wahabi dan Syiah serta penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Namun menurut Harussani, beliau percaya Malaysia masih berpegang kepada paksi asalnya bersabit isu agama sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Yang di Malaysia bukan menyekat, dalam perlembagaan mengatakan mereka boleh mengamalkan agama mereka sendiri bahkan menghormati tetapi tidak mempropagandakan agama mereka kepada penganut agama Islam.

"Itu sudah ada dalam perlembagaan. Dipersetujui sewaktu merdeka, jadi benda ini tidak betul,"katanya lagi.

Jelasnya lagi, terlalu banyak kekeliruan di kalangan pengkaji agama terutamanya dari negara luar yang dilihat suka mengambil kesempatan ke atas keadaan negara yang sedang keruh dengan isu agama.

"Apa yang dibuat di barat, semua diakui. (Dalam hal ini) kita yang hendak ditekan, itulah (yang dinamakan) globalisasi. Globalisasi itu maknanya (pihak) yang berkuasa dan menekan orang lain, itulah maknanya,"tambah beliau lagi.

Malaysia adalah sebuah Negara Islam. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Sementara perkara 11 Perlembagaan pula memperuntukkan “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada fasal (4) mengembangkan agamanya”.

Daripada peruntukan ini jelas orang Islam berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, iaitu Islam sebagai cara hidup mereka.

Selain itu, Fasal (4) pula menyebut undang-undang boleh dibuat untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa i’tiqad atau kepercayaan agama lain terhadap umat Islam.

Dalam pada itu Islam tidak pula menyekat hak kebebasan mengamalkan agama bagi penganut lain.

Bagaimanapun itu tidak bermakna kebebasan tersebut adalah mutlak kerana ia masih tertakluk kepada Perkara 11 (4) iaitu supaya tidak menyebarkannya di kalangan umat Islam.

Mengulas lanjut ketika ditanya oleh TV Selangor mengenai Malaysia yang turut dikaitkan dengan kurangnya sikap bertoleransi dalam isu agama, Harussani ada pendirian beliau yang sendiri.

"Dalam perlembagaan,(cuma yang) disekat dari segi mengembangkan agama kepada orang Islam. Sama kalau hendak diikutkan, di negera lain lagi teruk. Di China ada yang sampai bunuh orang Islam, di German dan di Amerika sendiri, usah cakaplah.

"Kalau itu yang dicakapkan, mereka kena datang Malaysia dan mereka akan nampak,"katanya lagi.