Fitnah Video Lucah, Serampang Dua Mata Umno Kaburi Mata Rakyat



KUALA LUMPUR 23 MAC : Ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat senada fitnah video lucah ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat ekoran tekanan hebat yang diterima Umno-Barisan Nasional dalam usaha mereka meraih semula keyakinan rakyat.

Ia juga digunakan sebagai serampang dua mata untuk membeli ahli-ahli parlimen PKR yang kuat mendokong karier politik Anwar.

Ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hal ini jelas walaupun zaman kegagalan Umno-BN dalam pilihanraya kecil sudah berlalu, namun ia belum mampu menghilang keresahan pimpinan tertinggi Umno itu.

"Ini jelas menunjukkan bahawa Umno BN khususnya pimpinan tertinggi Umno dalam keadaan cukup tertekan. Dalam keadaan di mana mereka menang beberapa pilihanraya berturut-turut bermula dengan Bagan Pinang, Galas, Tenang, Kerdau, mereka masih mahu mengambil tindakan jelek seburuk ini.

"Dengan kata lain, mereka memang tidak ada keyakinan bahawa mereka telah memenangi apa yang disebut sebagai memenangi kembali sokongan rakyat terutamanya kaum Melayu, India dan Tiong Hua,"kata Dr Dzul.

Tembelang Umno hari ini pecah apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah mengakui mereka adalah dalang di sebalik video lucah itu.

Sementara Perdana Menteri Najib Razak pula memberi kebenaran kepada Rahim untuk membeli ahli-ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat dan menggunakan video berkenaan untuk meyakinkan mereka.

Hal itu didedahkan oleh ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul hari ini apabila beliau turut ditawarkan imbuhan lumayan untuk meninggalkan PKR.

" Maksudnya Umno masih lagi menaruh harapan kepada MP Pakatan, khususnya PKR yang mereka anggap boleh dibeli dengan wang ringgit.

" Kami dalam PR berjuang atas dasar prinsip membina dan membangunkan negara, agama, bangsa, segalanya, jadi kalau mereka sangka bahawa mereka boleh dibeli dengan wang ringgit, berkali-kali diugut. Ini semua sudah berlalulah, politik kuno seperti ini. Berapa ramai lagi MP PKR,"katanya lagi ketika ditemui Tv Selangor, di lobi parlimen hari ini.

Sementara itu, ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berkata, tindakan kurang bijak Rahim yang sememangnya seteru politik Anwar menonjolkan dirinya dan menggunakan modal video berkenaan untuk menarik ahli parlimen Keadilan untuk menyertai Umno, sangat menjengkelkan.

Apatah lagi, Rahim dan Shazryl sebelum itu menyifatkan tayangan video secara terbuka itu kononnya untuk mendedahkan karektor sebenar Anwar.

" Sebab itu, bagi saya, seharusnya mereka, kalau benar video itu membabitkan Anwar, isunya ialah tindakan mereka sepatutnya bukan mengajak orang Keadilan keluar menyertai Umno tetapi tindakan kepada Anwar, iaitu membuat laporan kepada pihak berkuasa, polis atau pihak berkuasa agama, kerana ia membabitkan isu sebagai orang Islam kerana berkaitan dengan zina dan sebagainya,"katanya.

"Yang peliknya, tindakan mereka untuk mengajak orang menyertai Umno, meninggalkan parti Keadilan, yang keduanya adalah mereka hanya memberi amaran bahawa dalam seminggu Anwar dan Wan Azizah kena lepas jawatan,"katanya lagi.

Manakala menurut ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh pula, cubaan membeli ahli parlimen PKR oleh Umno kerana merasa tergugat dengan parti itu.

Beliau yang juga naib presiden PKR berkata, ia adalah taktik usang Umno-BN yang tidak terkesan lagi pada hari ini.

" PKR ini merupakan parti yang menjadi penentang utama kepada BN. PKR adalah cabaran sebenar kepada BN. Sebab itu mereka akan buat apa sahaja, dengan cara menunjukkan video itu mereka mahu menghilangkan kepercayaan pemimpin-pemimpin PKR. Saya ingin beritahu kepada BN bahawa taktik politik kotor ini adalah taktik lapuk yang seharusnya tidak digunakan lagi dan ianya boleh memakan diri sendiri,"kata Fuziah.

No comments: