PRONTHIP KEMBALI


PUTRAJAYA 13 Julai – Pakar patologi forensik Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand akan kembali ke Malaysia untuk memberi keterangan dalam perbicaraan inkues kematian Teoh Beng Hock.

Peguam Gobind Singh Deo berkata, beliau telah menerima sepucuk surat dari Kementerian Kehakiman Thailand yang mengesahkan bahawa Dr. Pornthip akan hadir pada inkues itu.

"Esok, kami akan memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan ini dan akan memohon tarikh baru bagi membolehkan pakar patologi itu memberi keterangan,” kata Gobind kepada pemberita di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Katanya, beliau akan menarik balik permohonan supaya Dr. Pornthip memberi keterangan secara langsung menerusi persidangan video.

Inkues itu akan disambung semula esok dengan Mahkamah Koroner akan memutuskan sama ada membenarkan Dr. Pornthip memberi keterangan menerusi persidangan video.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama. – Bernama

No comments: