Sebenarnya keluhan dari pelajar luar negara ini bukan pertama kali tetapi sebelum ini sudah ada beberapa pelajar mengadukan hal yang sama. Manakala surat rayuan untuk mendapatkan derma pengajian tiba di rumah boleh dikatakan setiap bulan, terutamanya pelajar Timur Tengah.
Pelajar itu juga mempertikaikan sikap kerajaan yang memberi galakan anak-anak Melayu mengambil kursus kritikal dan profesional untuk meningkatkan daya dan kualiti hidup. Tetapi malangnya apabila ada anak-anak Melayu menyahut seruan itu, belajar bersungguh kerana untuk mengambil pengajian dalam bidang-bidang kritikal, peruntukan kewangan pula tidak diberikan. Keadaan ini katanya samalah seperti tahu melahirkan anak tetapi tidak tahu membekalkan makanan untuk mereka. (Kejam - MSO).
Tetapi itu sebenarnya bukan alasan. Mara ditubuhkan untuk membantu orang Melayu dalam bidang utama; pendidikan dan usahawan. Itulah matlamat Mara. Penubuhannya dibuat menerusi akta Parlimen. Ianya bukan sengaja diwujudkan dan bukan juga secara sembunyi yang perlu diselindungkan kepada sesiapa pun. Mara adalah wadah membantu ekonomi dan pendidikan Melayu.
Kalau benar dana pendidikan Mara sudah kering, Mara harus mencari wang bagi meneruskan bakti mereka kepada anak-anak bangsa. Apa jalan sekalipun perlu diusahakan untuk tidak menghampakan harapan orang Melayu. Kalau Mara terpaksa mencuri dan merompak, ia halal dilakukan demi membantu orang Melayu.
Dalam usaha mendapatkan dana pendidikan Mara ini, pemimpin politik (Melayu) juga perlu kebijaksanan dan keberanian. Banyak instrumen atau saluran yang boleh dibawakan duit untuk Mara. Banyak institusi kerajaan (GLC) yang kaya raya dan boleh membantu Mara. Ingatlah hanyalah peruntukan menerusi Mara sahajalah yang merupakan gratis kemerdekaan kepada orang Melayu yang rebah dan menyulur memerdekakan negara ini. Apakah gratis yang kecil dan tidak seberapa ini pun hendak dihapuskan atau dinafikan juga kerana ada yang mengkritik dan mencemburuinya?
Mengenai masalah Mara ini, sebenarnya ia bukan tidak mendapat peruntukan. Setiap tahun kerajaan menyalurkan peruntukan berbillion ringgit. Tetapi apa yang berlaku ialah penyalahgunaan peruntukan ataupun pengurusan kewangan tidak berhemah dan berlaku pembaziran secara mentah-mentah. Perbelanjaan digunakan secara membazir dan pembaziran itu tidak pada tempatnya. Kekeringan tabung kewangan Mara juga buka kerana ia disalurkan kepada rakyat, tetapi disebabkan berlaku penyelewengan, atau rompakan dalaman Mara itu sendiri yang 'dirangah' oleh para kroni.
Banyak laporan dan gosip-gosip yang menceritakan bagaimana wang Mara disalahgunakan. Akibat ini segelintir kumpulan sahaja yang mendapat manfaat dan orang lain yang sepatutnya berhak menerima dinafikan. Seolah-olah institusi Mara dibangunkan untuk membantu segelintir manusia saja. Selalunya yang mendapat manfaat Mara ialah manusia berbangsa Umno dan kroninya saja ataupun yang menguasai badan berkenaan.
Bentuk rompakan ke atas Mara dilakukan dengan berbagai cara dan taktik. Satu contoh apabila Mara mencadangkan untuk mewujudkan kolej komuniti Mara di setiap bandar besar di negara
ini siapa yang mengaut keuntungan daripada projek berkenaan? Bukankah orang yang mencari bangunan atau tapak untuk kolej itu para pemimpin Umno. Bagaimana penyelewengan berlaku. Mereka akan menaikkan harga berkenaan berlipat kali ganda. Misalnya harga bangunan sebenarnya ialah RM5 juta tetapi dimark up sampai RM25 juta. Jadi yang lebih RM10 juta itu ke mana?
Sebab itulah kroni pemimpin Umno kaya raya dan hidup mewah. Pendapatan mereka adalah daripada projek-projek seumpama itu. Cuba check dan periksa sumber kewangan ketua-ketua bahagian dari mana. Boleh dikatakan semua ketua bahagian Umno ada lesen kelas A ataupun kroni yang memiliki lesen kelas A.
Banyak kalau nak disebut mekanisme untuk mendapat wang panas atau wang terpijak ini dari agensi Mara. Satu lagi contoh ialah mengenai projek yang disalurkan menerusi Tabung Ekonomi Usahawan (Tekun). Cerita Tekun ini saya akan kisahkan lain kali. Panjang kalau nak dihuraikan fasal Tekun di sini. Ada kes special mengenai Tekun ini yang berlaku di depan mata dan menimpa anak buah saya sendiri.