Mahathir sedang mengumumkan Marina diperguna untuk gulingkan kerajaan Najib?

Rakyat Malaysia patut berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri Mahathir kerana telah menyediakan bukti kelima mengenai kempen fitnah untuk memburuk-burukkan BERSIH 3.0 dan Pakatan Rakyat dan mengapa "panel penyiasatan bebas" yang diketuai oleh Haniff Omar tidak boleh diterima sama sekali dan mesti ditolak dengan sekeras-kerasnya.

Empat bukti yang lain yang telah diberikan oleh Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan dua bekas Ketua Polis Negara, yakni:

1. Dakwaan melulu yang tidak bertanggungjawab oleh Perdana Menteri, Najib Razak bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 sebenarnya adalah satu "kudeta" atau percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan;

2. Sokongan padu yang diberikan dengan serta-merta oleh bekas Ketua Polis Negara Haniff Omar bagi dakwaan Najib mengenai cubaan untuk menggulingkan kerajaan yang juga menyatakan bahawa beliau telah mengenalpasti individu-individu pesimpati komunis di BERSIH 3.0 yang dilihat dalam peristiwa demonstrasi tahun 1970-an dengan lebih dakwaan bahawa kanak-kanak dan ejen-ejen provokasi digunakan sebagai taktik komunis.

3. Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara yang telah memberikan sokongan padu dengan serta-merta kepada teori menggulingkan kerajaan juga telah melemparkan tuduhan bahawa BERSIH 3.0 telah menggunakan taktik "Marxist" serta menuduh pihak pembangkang mahu melihat tumpahnya darah kerana tidak yakin akan dapat menakluk Putrajaya.

4. Dakwaan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein dalam temuduga bersama Sunday Star pada 20 Mei bahawa "demokrasi telah dirampas" (hijacked) pada 28 April.

Tulisan blog Mahathir dua hari yang lepas bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah satu "penyediaan" oleh Pakatan Rakyat untuk mencetuskan kekecohan dan rusuhan untuk menolak keputusan Pilihanraya Umum Ke-13 sekiranya pihak pembangkang kalah adalah bukti yang kelima dalam kempen fitnah dan tohmahan BERSIH 3.0 dan Pakatan Rakyat yang melibatkan bekas Perdana Menteri, dua Ketua Polis Negara, walaupun mereka semua ini, sampai sekarang belum lagi membekalkan sekelumit pun bukti untuk menyokong pendirian dan pendapat mereka, yang telah dinyatakan pada bulan yang lepas.

Apa yang telah mereka lakukan dengan "melonggokkan" semua pendapat mereka itu adalah supaya "panel penyiasatan bebas" Haniff ditolak sama sekali kerana tiada sesiapapun yang akan percaya bahawa panel tersebut benar-benar bebas, adil dan objektif apabila wujudnya kempen fitnah yang dilancarkan terhadap BERSIH 3.0 dan Pakatan Rakyat.

Malah, Haniff (gambar kiri), bersama-sama dengan Mahathir, Hishammuddin dan Rahim Noor haruslah tampil kehadapan sebagai saksi utama untuk memberi justifikasi dakwaan mereka di hadapan panel penyiasatan yang benar-benar bebas, adil dan kredibel berhubung apa yang benar-benar telah berlaku dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April dimana keganasan telah dicetuskan, tidak kira kakitangan polis, wakil-wakil media atau peserta-peserta yang telah berhimpun di sana.

Jika kelima-lima daripada mereka, Najib, Mahathir, Hishammuddin, Haniff and Rahim Noor - tidak mampu untuk menyediakan apa-apa bukti untuk menyokong dakwaan mereka terhadap BERSIH 3.0 dan Pakatan Rakyat, kesemua VVIP ini harus menarik balik dakwaan tidak berasas ini dan memohon maaf dengan mulia dan tertib kepada semua rakyat Malaysia.

Adakah gambaran ini memberikan idea bahawa Marina Mahathir telah dipergunakan oleh BERSIH 3.0 dan Pakatan Rakyat untuk menggulingkan kerajaan Najib dengan menggunakan keganasan, seperi yang dinyatakan oleh Mahathir?

Adakah Mahathir sedang menggunakan alat yang sama untuk memburuk-burukkan imej 200,000 hingga 300,000 rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kawasan, kelas, jantina dan umur yang telah turun padang pada 28 April untuk menyahut seruan untuk menuntut pilihanraya yang bebas dan bersih di Malaysia?

Mahathir patut memuji anaknya Marina di atas semangat kerakyatan dan patriotisme dalam penyertaannya dalam BERSIH 3.0 pada 28 April dan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011, daripada mengutuk dan mencemuhnya dan peserta-peserta yang lain dalam perhimpunan BERSIH 3.0.
Baca: Mahathir ramal demo ganas untuk gulingkan kerajaan pilihan rakyat

*Kenyataan media oleh Lim Kit Siang (gambar kanan) selaku Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timur.