PN LEBIH BERMASALAH JIKA BERSATU TERUS ADA DI DALAMNYA



22 Jun 2026


Menjelang mesyuarat tergempar PN malam ini, beberapa rakan serta kenalan menghubungi saya dan bertanya soalan - adakah Bersatu akan dikeluarkan daripada gabungan itu?


Sebenarnya saya tidaklah ada jawapan yang tepat lagi pasti bahawa Bersatu benar-benar akan dipecat, walaupun kecenderungan PAS yang kini menerajui PN, terlihat begitu kuat ke arah itu.


Sebabnya kadang-kadang PAS juga akan pertimbangan sendiri yang mungkin berbeza dengan apa yang kita fikirkan dan berlawanan dengan kecenderungan yang terpampang di depan mata.


Cuma, kepada mereka yang menghubungi saya itu, saya dengan jujur mengatakan PN akan lebih bermasalah jika Bersatu terus  ada dalam gabungan itu, selain akan juga menjadikan PAS tidak lagi dipercayai.


Pertama, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar beberapa hari sebelum ini telah memberhentikan dua pemimpin Bersatu daripada PN - Dr Radzi Jidin sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya dan Azmin Ali sebagai Timbalan Setiausaha Agung.


Pemberhentian itu secara mudah difahami adalah untuk mengurangkan wakil Bersatu dalam PN supaya apa-apa tindakan yang ingin diambil terhadap Bersatu - termasuk pemecatan - lebih mudah untuk dilakukan.


Ini kerana tidak seperti BN yang memerlukan konsensus 100%, sebarang tindakan dalam PN memadai dengan hanya sokongan majoriti saja.


Jika akhirnya Bersatu tidak dipecat daripada PN, untuk apa dua pemimpin Bersatu itu diberhentikan oleh Dr Ahmad Samsuri?


Tidakkah jika tiada apa-apa tindakan atau Bersatu masih kekal dalam PN selepas mesyuarat tergempar malam ini, ia hanya akan menyebabkan PAS tidak lagi dipercayai?


Apabila PAS tidak lagi dipercayai, bagaimanakah parti itu dan PN mampu untuk memenangi lebih banyak kerusi?


Kedua, Bersatu yang ada sekarang bukan lagi Bersatu seperti yang dahulu.


Bersatu sekarang lebih cenderung untuk bermusuh daripada berkawan.


Selain dengan Kumpulan Hamzah Zainuddin yang dianggap musuh dan mahu dikeluarkan daripada PN, dengan PAS juga Bersatu suka mengambil sikap ingin bermusuh.


Sejak Muhyiddin tidak lagi menerajui PN, Bersatu ternampak lebih ghairah mahu menunjuk mereka lebih hebat, lebih pandai dan ingin menguasai gabungan itu.


Lihat saja kebelakangan ini bagaimana ada satu dua pemimpin tertentu Bersatu yang setiap  hari dan secara bersiri kerjanya asyik menghentam PAS dan pemimpinnnya, termasuk Haji Hadi Awang selaku Presiden PAS sendiri.


Gelaran yang jelek dan tidak sewajarnya sebagai parti rakan juga kerap dilemparkan kepada Ahli Parlimen Marang itu.


Sepatutnya dalam keadaan sekarang di mana Bersatu seperti berada di pergentingan, parti itu lebih menunjukkan sikap tawaduk dan merendah diri, bukan makin galak ingin bermusuh.


Seharusnya Bersatu sedar di mana kedudukan mereka sekarang ini.


Dalam keadaan sebegeni, bagaimana PN mampu jadi harmoni, stabil dan ada harapan yang lebih baik untuk menang PRU16 akan datang jika Bersatu masih ada sebagai komponennya?


Bukankah disebabkan sikap Bersatu dan perangai satu dua pemimpin tertentu itu hanya menyebabkan parti itu lebih elok dikeluarkan daripada PN demi memastikan ia dapat terus bergerak ke hadapan untuk matlamat menawan mengambil alih kerajaan?


Kesimpulannya, setelah PAS kini menerajui PN, apa yang penting ialah mereka mesti mewujudkan perpaduan yang lebih kukuh dan menjadikan gabungan itu sebagai harapan rakyat dengan sikap dan pendiriannya yang terbuka dan sedia menambah ramai kawan lagi.


Berbalik kepada keputusan mesyuarat tergempar malam ini, apa pun keputusannya nanti, cuma PN amat kerugian jika melepaskan begitu saja peluang untuk membuang beban dan gangguan dalaman yang ada di dalamnya.


Pun begitu, adalah suatu sikap terpuji jika Bersatu dapat memahami realiti dan lebih dulu membawq diri keluar daripada PN sebelum “pintu keluar” ditunjukkan kepadanya. - ShahbudinHusin 22Jun2026.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1317285497061233&id=100063393840098



No comments: