Kemukakan surat rasmi jika benar-benar ingin berbincang mengenai kerjasama, kata seorang pemimpin kanan Umno kepada Bersatu yang menyatakan hasrat untuk berbaik-baik dengan parti itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Maslan, berkata di sebalik pelbagai kenyataan dan bayangan yang diberikan Bersatu, setakat ini belum ada sebarang permohonan rasmi dibuat.
Sebaliknya, kata Ahmad, tawaran berkenaan hanya dibangkitkan melalui media.
"Tentunya perkara penting sebegini perlu dibincang di peringkat MKT Umno.
"Jika Bersatu mahu lakukan (kerjasama dengan Umno) atau mahu berkeinginan menyertai Umno semula, kemukakan surat supaya perbincangan rasmi dapat dibuat.
"Jangan asyik bangkitkan perkara ini (di media) kerana jika tiada permohonan, macam mana ia hendak dibincangkan secara rasmi di peringkat MKT Umno?" katanya seperti dipetik Berita Harian.
Ahmad berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Jelajah Revolusi Pembinaan CR4.0 dan myDigital Kontraktor (MDK), di Benut, Pontian, hari ini.
Kelmarin, dalam sesi audio siar bersama bekas menteri, Zaid Ibrahim, Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, berkata Bersatu yang merupakan serpihan Umno mempunyai ideologi yang sama dengan parti itu.
No comments:
Post a Comment