Berpada dalam perbezaan pendapat, jangan putus silaturahim, kata Mat Sabu selepas jumpa Mustafa Ali


 

Aktivis politik terutamanya golongan muda boleh berbeza pandangan politik tetapi ia tidak boleh menjadi punca kepada terputusnya silaturahim antara satu sama lain, kata presiden parti AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu.


“Nasihat saya kepada semua ahli parti politik terutamanya di kalangan orang muda, berpadalah di dalam perbezaan pendapat dan jangan jadikan ia punca kepada terputusnya silaturahim.


“Kepelbagaian pandangan jika diurus dengan baik seharusnya menjadi pencetus idea kepada pembangunan negara yang lebih baik dan makmur untuk semua rakyatnya.”

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata demikian dalam satu hantaran Faceebook setelah menziarahi rakan seperjuangannya yang lama – Datuk Mustafa Ali.

“Walaupun telah berbeza wadah politik, hubungan kami masih kekal seperti dulu.


“Di dalam keadaan kesihatan yang tidak berapa baik, beliau masih mengingati banyak peristiwa di antara kami berdua terutamanya di dalam usaha awal penubuhan Unit Amal.


“Beliau telah menghantar saya dan beberapa rakan lain ke Iran untuk berkongsi pengalaman selepas kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979.”


Mohamad pernah berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa Dewan Pemuda Pas ketika Datuk Mustafa mengetuai sayap tersebut dari tahun 1975 sehingga 1987.





No comments: