Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima darjah kebesaran tertinggi Kelantan daripada Sultan Muhammad V pada 1 Oktober lalu. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 23 Dis – Rating penerimaan terhadap pentadbiran tahun kedua Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim naik empat peratus kepada 54 peratus, berbanding 50 peratus direkod bagi tempoh sama tahun lalu.
Hasil tinjauan Merdeka Center itu, rating penerimaan terhadap Kerajaan Perpaduan juga meningkat lima peratus untuk berada pada 51 peratus, berbanding 46 peratus November tahun lalu.
“Pengundi secara amnya berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri dalam beberapa aspek (iaitu menarik pelaburan, meningkatkan imej negara dan meningkatkan perkhidmatan awam), namun memberikan penilaian bercampur-campur apabila ditanya mengenai usaha memperkukuh ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, firma tinjauan itu mendapati rasa tidak puas hati terhadap Kerajaan Persekutuan pada masa ini berada pada tahap 47 peratus.
“Petunjuk ini sebahagian besarnya didorong oleh kebimbangan berterusan mengenai tekanan kos sara hidup dan beberapa kebimbangan mengenai pemotongan subsidi yang dijadualkan akan berlaku akan datang,” katanya.
Katanya, seperti sebelum ini, sentimen pengundi kekal tertumpu kepada isu ekonomi, di mana 65 peratus menyatakan ia sebagai masalah nombor satu dihadapi rakyat ketika ini.