WALAU HADIR MUKTAMAR PAS, HADI AWANG TETAP TOLAK TUN MAHATHIR

 

Presiden PAS Hadi Awang menepis desas-desus bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional bagi PRK Parlimen Kemaman.

“Tidak munasabah. Kalau nak timbulkan biar munasabah,” katanya pada sidang media di tepian muktamar PAS ke-69.

Hadi memaklumkan Perikatan Nasional belum memuktamadkan calonnya dan Mahathir tiada dalam senarai itu.

Pengundi Kemaman akan memilih wakil rakyat mereka pada 2 Disember. Pihak yang bertanding akan menamakan calon masing-masing pada 18 November.

Pemilihan baharu diadakan kerana Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman terbatal dan tidak sah,  selepas menerima dakwaan berhubung sogokan semasa tempoh berkempen untuk meraih undi bagi calon Perikatan Nasional, Che Alias Hamid.

Pada PRU lalu, PN menang bergaya dengan majoriti 27,179 undi, selepas calonnya meraih 65,714 undi untuk menewaskan Barisan Nasional yang meraih 38,535 undi, Pakatan Harapan (8,340), dan Pejuang (506).

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/10/20/tak-munasabah-hadi-tepis-desas-desus-dr-m-calon-pilihan-raya-pas/

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad hadir di Muktamar PAS ke-69 yang berlangsung di Shah Alam, hari ini.

Ketibaan Dr Mahathir yang sebelum ini adalah presiden Umno dan dianggap seteru ketat PAS disambut laungan takbir oleh perwakilan.

Kehadiran kali pertamanya ke muktamar PAS itu diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Dia hadir sebagai tetamu pada majlis perasmian muktamar oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.


Hadir sama, adalah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Bersatu,  Muhyiddin Yassin yang pernah memecat Mahathir daripada parti itu.

Mereka kemudiannya ditempatkan di pentas muktamar bersama pemimpin PAS lain.

Sebelum ini, Mahathir hanya tampil di pentas PAS ketika ceramah parti itu semasa kempen pilihan raya negeri Ogos lalu.

Pada muktamar kali ini, Dr. Mahathir hadir berpakaian serba hitam serta bersongkok.

Sementara itu, Hadi semasa ucapan dasarnya turut memberi penghormatan kepada Mahathir yang juga penasihat kepada empat negeri yang ditadbir oleh PN (SG4).

“Mahathir sebagai penasihat kehormat SG4 ini, di samping menjadi jambatan dan pintu gerbang kepada pelabur dalam dan luar negara, ditambah dengan panduan dan bimbingan berterusan oleh Muhyiddin (Yassin)sebagai pengerusi PN, kedua-duanya adalah mantan perdana menteri yang mempunyai pengalaman dan jaringan berharga,” katanya.

Mahathir dispekulasikan mahu membuat penampilan kembali ke Dewan Rakyat melalui pilihan raya kecil Kemaman, kubu buat PAS.

Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/683509