TIADA NIKMAT PALING BESAR HIDUP DI MALAYSIA INI SELAIN MENJADI AHLI PAS


 Kalau ditanya kepada beberapa orang, apakah nikmat paling besar hidup di negara Malaysia ini, jawapan yang diperolehi pasti berbeza-beza.

Lain orang lain penilainnya dan dengan itu, jawapannya tidak pernah sama.

Ada yang merasakan hidup aman harmoni dengan pelbagai kaum di sekeliling dan menjadi rakan adalah nikmat yang tak terhingga.

Ada pula yang menganggap beroleh kerajaan yang baik dengan banyak bantuan serta kemudahan adalah nikmat yang tiada tandingnya.

Menikmati makanan yang pelbagai jenis yang ada di negara kita juga kadang-kadang dianggap sebagai suatu nikmat.

Tidak kurang daripada itu ada juga yang berasakan beroleh seorang Perdana Menteri yang diidam-idamkan adalah nikmat dalam meniti kehidupan ini.

Tetapi, adakah semua itu nikmat yang sebenar-benarnya dalam kita hidup di Malaysia ini?

Saya sendiri kadangkala tercari-cari apakah nikmat itu lantaran setiap kali diberi sesuatu kenikmatan dalam perjalanan kehidupan, apa yang dirasa sering berbeza-beza dan keinginan untuk mencari nikmat yang seterusnya tidak pernah berakhir.

Selagi kita terus memburu dan mencari kenikmatan, ertinya nikmat sebelum ini bukanlah benar-benar suatu kenikmatan.

Jadi, apa itu nikmat yang sebenar atau paling tinggi nilainya yang boleh menyebabkan kita berhenti daripada terus melakukan pencarian?

Semalam, apabila Presiden Pas, Hadi Awang mengeluarkan dalil bahawa memberi wang kepada pengundi ketika pilihan raya bukanlah rasuah atau sogokan, sebaliknya suatu sedekah, perkara itu segera mendatangkan kesedaran kepada saya bahawa nikmat sebenar hidup di negara ini ialah dengan menjadi ahli Pas.

Di dalam Pas, apa saja yang dilakukan, walaupun berbeza dengan pendirian sebelumnya, pimpinannya sentiasa saja ada dalil untuk mewajarkannya.

Dahulu Pas selalu menganggap memberi wang kepada pengundi adalah rasuah atau sogokan yang haram hukumnya.

Sebab itu pemberian BR1M pun ditolak Pas, malah Hadi menganggapnya meniru apa yang berlaku ketika pemerintahan Firaun.

Tetapi, sekarang di ketika kemenangan Pas di beberapa kerusi dalam PRU15 dipertikaikan, seterusnya sedang diambil tindakan petisyen kerana ada bukti pemberian wang dilakukan, Hadi Awang terus mengatakan wang yang diberi itu adalah sedekah.

Penyokong dan pentaksub parti itu lantas berduyun-duyun mengiakan apa yang diperkatakan Hadi itu.

Tidakkah ini nikmat sebenarnya?

Makna kata, selepas itu, bagi mereka yang berada di dalam Pas, baik penyokong atau pimpinannya, mereka tiada keraguan lagi untuk melakukan pemberian wang ketika kempen pilihan raya diadakan.

Tidak bersedekah di waktu lain tidak mengapa, yang penting memberi wang ketika berkempen tetap merupakan sedekah.

Menyorot ke belakang, banyak lagi tindakan Pas yang berbeza antara dulu dengan sekarang yang mana dalam kedua-dua pendirian itu, dalil membolehkannya sentiasa ada, bahkan mantap sekali sifatnya.

Berbaik dan berpakat dengan DAP, kemudian putus – Pas ada dalil yang meletakkan mereka betul dalam kedua-dua tindakan itu.

Berbaik dan berpakat dengan UMNO, kemudian putus – Pas juga ada dalil yang sekali lagi meletakkan mereka tidak pernah salah.

Begitu juga dalam isu hudud dan RUU355 – bising ketika jadi pembangkang, diam ketika jadi kerajaan dan kemudian bising semula bila jadi pembangkang – Pas tetap ada dalil yang menjadikan mereka betul sepanjang masa.

Menyambut atau tidak kedatangan Perdana Menteri melawat sesebuah negeri, dalilnya juga tetap ada untuk menjadikan Pas betul belaka.

Bahkan, dalam mengkritik filem Pulau setelah jadi pembangkang, sedangkan kelulusan tayangan filem itu diperolehi ketika Pas sendiri berada dalam kerajaan, mereka tidak pernah segan atau malu berbuat demikian.

Sebabnya, Pas tidak pernah kekeringan dalil untuk menjadikan mereka dipihak yang benar dan orang lain di pihak yang salah.

Toleh kiri toleh kanan, apa lagi nikmat paling besar dalam hidup ini selain boleh menyalahkan semua orang dalam semua perkara dan diri kita pula betul dalam semua tindakan yang diambil.

Nikmat sedemikian itu tidak mungkin diperolehi jika kita tinggal atau menjadi warga di negara lain.

Ahhh….di mana saya boleh dapat borang Pas? – ShahbudinHusin 22/01/2023.




No comments: