PERJUANGAN ANAK MUDA DI BUMI MATADOR DAPAT SUNTIKAN SEMANGAT PM

 

Oleh: SHAHBUDIN EMBUN

Pengerusi Biro Politik Dan Kepimpinan MPM

Cabaran kita pada hari ini ialah untuk terus melahirkan pemimpin masa hadapan berasaskan pada acuan kita sendiri, yang sentiasa memberi keutamaan kepada nilai, adat dan budaya kita.

Bukan itu sahaja mereka ini perlu memiliki keyakinan untuk mencipta nama dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Begitulah antara harapan yang diletakkan pada Pasukan debat bahasa Inggeris UiTM yang telah berlepas ke Madrid , Sepanyol pada 25 Dis 2022 lalu bagi menyertai pertandingan debat antarabangsa iaitu World Universities Debating Championship (WUDC)yang akan bermula pada 28hb Disember sehingga 4 Januari 2023.

Pasukan UiTM beserta dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM) akan turut mengambil bahagian dalam pertandingan berprestij ini.

Pasukan debat UiTM ini diwakili oleh 8 orang pelajar dan diiringi oleh seorang pegawai UiTM akan meneruskan legasi generasi terdahulu yang pernah menyertai pertandingan debat bertaraf dunia ini.

Untuk mengharungi cabaran ini, pelbagai persiapan dan latihan secara insentif telah dibuat bagi mengharumkan nama negara nanti.

Antara usaha yang telah dilakukan ialah dengan menyertai beberapa kejohanan domestic dan antarabangsa yang mana pasukan UiTM telah memperolehi beberapa kejayaan yang boleh dibanggakan.

Dalam hal ini Pihak UiTM turut menyediakan tiket penerbangan dan kemudahan hotel serta makan minum di sepanjang pertandingan yang bakal diadakan di Universidad Rey Juan Carlos, Madrid, Sepanyol.

Pasukan ini juga telah menerima suntikan dan dorongan yang sangat bermakna apabila YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat berbesar hati menyampaikan sumbangan wang saku kepada pasukan ini sebagai perbelanjaan tambahan semasa di Sepanyol nanti.

Sumbangan itu telah disampaikan oleh Setiausaha Politk YAB Perdana Menteri, Saudara Farhan Fauzi sebelum mereka berlepas ke Madrid. Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli turut hadir di KLIA bagi menyuntik semangat kepada pasukan ini. .

Mungkin apa yang lebih bermakna dan akan memberikan semangat kepada anak-anak mahasiswa ini ialah ucapan selamat maju jaya dari Perdana Menteri Malaysia sendiri.

Dan sebagai rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama mendoakan juga kejayaan anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa depan.

Buktikan Malaysia boleh di bumi Matador.

Oleh

SHAHBUDIN EMBUN

Pengerusi Biro Politik Dan Kepimpinan MPM.



No comments: