SIAPA PENGGANTI KEKOSONGAN JAWATAN TERTINGGI DUA AGENSI ?

 



Dua agensi yang terbabit dengan kontroversi kebelakangan ini - Jabatan Hutan Kelantan dan Air Kelantan Sdn Bhd - mengalami kekosongan pemegang jawatan tertinggi.

Pengarah Hutan - Tuan Hj Abdul Khalim bin Abu Samah tamat perkhidmatan pada 14 Julai baru lalu.

Walau pun ada memo sokongan dari beberapa pegawai tinggi Jabatan Hutan Kelantan untuk menyambung jawatan Tuan Hj Khalim, ia nampaknya tidak berjaya.

Jabatan Perhutanan berada di bawah YB Dato Takiyudin Hassan di peringkat Persekutuan selaku Menteri Sumber Asli.

Menteri Sumber Asli biasanya akan menamakan kepada Menteri Besar calon pilihan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Menteri Besar seterusnya memanjangkan cadangan itu untuk perkenan Ke Bawah DYMM Al Sultan.

Menjadi kelaziman, Pengarah Hutan Negeri adalah pegawai Perhutanan Semenanjung dan bukannya dari kalangan Pegawai Tadbir Negeri atau PTN.

Namun kali ini dikatakan berlaku sedikit kelainan.

Sumber tertentu mengatakan YB Menteri telah menamakan se orang pegawai PTN untuk menjawat jawatan Pengarah Hutan Kelantan yg baru.

Sama ada pilihan lain dari kebiasaan ini ada kaitan dengan kontroversi kecurian hutan bersebelahan konsensi anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Daulah Najah atau tidak, masih menjadi tanda tanya.

Sehingga kini, belum ada pemakluman mengenai identiti pencuri balak tersebut hasil siasatan oleh Jabatan Hutan Negeri dan Semenanjung.

Adakah pilihan Menteri yang disenangi oleh Menteri Besar itu akan terlantik?

Kesan segera ialah, rasa kurang senang pegawai hutan Persekutuan yang mungkin lebih berkelayakan dalam profesion mereka.

Kesan kedua segera ialah integriti Jabatan Hutan di mata awam.

Ia bergantung kepada bagai mana Pengarah yang baru tadi mengendalikan isu-isu yang masih belum terjawab.

Jawatan Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd yang disandang oleh Datuk Dr Azuhan Mohamed juga dikatakan akan bertukar.

Bagi pelantikan di bawah Aksb, ia sepenuhnya di bawah kuasa Kerajaan Negeri.

Secara kebetulan, Menteri Air Kerajaan Persekutuan juga dari Pas - Dato Tuan Ibrahim.

Kontrak asal Dr Azuhan sebagai Pengurus Besar AKSB juga telah berakhir.

Dikatakan, sementara menunggu kepulangan bakal pengganti beliau yang sedang mengerjakan haji, kontrak Dr Azuhan disambung selama dua bulan sampai akhir Ogos tahun ini.

Sama-sama kita ikuti perkembangan selanjutnya.

Husam Musa

19 Dzulhijjah 1443H

19 Julai 2022

#SaveKelantan

#SelamatkanKelantan

 

No comments: