MENGAPA SAYA MENENTANG USUL SOSMA?

 

Mengapa saya menentang usul Menteri Dalam Negeri pada petang ini 20 Julai 2022 yang akan mencadangkan kepada Dewan Rakyat suatu usul berbunyi :

“Bahawa Majlis ini membuat suatu ketetapan untuk membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat 23 Mac 2022 berkenaan dengan usul menurut subseksyen 4(11), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 supaya subseksyen 4(5), Akta ini hendaklah terus berkuat kuasa bagi tempoh 5 tahun lagi mulai dari 31 Julai 2022.”

Sebelum saya nyatakan alasan-alasan mengapa saya menentang usul Menteri Dalam Negeri tersebut adalah elok untuk saya menjelaskan apa itu subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan ( Langkah-langkah Khas) 2012 ringkasnya disebut Sosma.

Subseksyen 4(5) Sosma memberi kuasa kepada polis menahan sesiapa tahanan Sosma bagi tempoh 28 hari untuk tujuan melengkapkan penyiasatan.

Manakala subseksyen 4(11) Sosma menyatakan bahawa subseksyen 4(5) hendaklah disemak setiap 5 tahun dan akan terhenti berkuatkuasa jika tidak diluluskan oleh kedua-dua Dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Mengapa kita perlu membantah subseksyen 4(5) Sosma ini? Hujah saya seperti berikut:-

Pertama, kuasa yang diberi kepada polis di bawah subseksyen 4(5) Sosma itu adalah zalim dan menindas.

Mengapa saya berkata begitu?

Tempoh 28 hari tahanan tanpa bicara itu adalah satu tempoh yang panjang.

Cuba kita bandingkan dengan kesalahan jenayah yang lain.

Seseorang suspek hanya boleh ditahan reman selama 14 hari sahaja seperti yang ditetapkan oleh Kanun Acara Jenayah (Criminal Prosedure Code, CPC)

Di bawah CPC, pihak polis tidak boleh tahan seorang suspek itu tanpa bicara.

CPC menetapkan bahawa suspek mesti dibawa di hadapan seorang Majistret dalam tempoh 24 jam untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Suspek boleh diwakili oleh seorang Peguam dalam prosiding permohonan perintah reman oleh polis di Mahkamah.

Selain itu, Majistret tidak dengan mudah-mudah memberi perintah reman 14 hari sekaligus.Majistret ada kuasa budi bicara.

Suspek yang dituduh membunuh sekalipun diberi hak oleh undang-undang di bawah CPC untuk diwakili oleh Peguam dan tahanan reman ke atasnya dibuat atas pertimbangan dan keputusan Mahkamah oleh seorang Majistret.

Tetapi di bawah subseksyen 4(5) Sosma, hak-hak tersebut dinafikan.Sebab itu saya katakan Akta Sosma ini zalim.

Kedua, subseksyen 4(5) Sosma tersebut bertentangan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tubuh Malaysia yang merupakan Undang-undang tertinggi di Negara kita ini.

Di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikuti undang-undang.

Kemudian di bawah Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan disebut pula bahawa jika seorang ditangkap maka dia hendaklah dibenarkan dibela oleh seorang Peguam pilihannya.

Hak untuk mendapatkan khidmat Peguam dan dibawa ke Mahkamah untuk perintah tahanan bagi tujuan siasatan polis dinafikan di bawah subseksyen 4(5) Sosma.

Pada 23 Mac 2022 Usul yang sama dibawa oleh Menteri Dalam Negeri telah ditolak oleh Dewan Rakyat.

Empat bulan kemudian iaitu pada petang 20 Julai 2022 ini, Menteri Dalam Negeri membawa usul ini sekali lagi ke Dewan Rakyat.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hak Asasi dan Hak-Hak di bawah Perlembagaan

20 Julai 2022



No comments: