Ismail ulang kelemahan Najib, sapu masalah bawah karpet
Pemerintahan BN – PN di bawah Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpotensi mengulangi kelemahan era pentadbiran bekas PM Najib Razak
Bagi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, skandal pentadbiran yang berlonggok sewajarnya ditangani segera oleh Ismail, namun beliau seolah olah berdiam diri sejak dilantik sebagai PM pada Ogos tahun lalu.
“Hari demi hari negara dikejutkan dengan pelbagai perkara yang saya kira amat mendukacitakan dan membimbangkan.
“Pertamanya isu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Badan Kehakiman Negara terkait Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
“Kedua, isu melibatkan Mahkamah Perancis yang mendakwa syarikat aset pertahanan, Thales kerana terbabit dalam skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002. Malaysia mesti mendapatkan keadilan bagi negara ini sekiranya kita benar-benar melawan rasuah dan kebobrokan.
“Ketiga, pendedahan terkini di mahkamah di New York, Amerika Syarikat yang menyentuh isu skandal 1Malaysia Development Berhad (tetapi tidak disusuli tindakan),” katanya.
Anwar juga menyentuh 4 kelemahan lain yang melibatkan jumlah kewangan yang besar dan tidak seharusnya disapu ke bawah karpet sebagaimana era pentadbiran yang lalu.
“Begitu juga kes melibatkan Serba Dinamik serta Suruhanjaya Sekuriti.
“Kelima, projek mega pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia yang dianugerahkan kepada konglomerat Digital Nasional Berhad (DNB) yang berpotensi untuk meledak seperti skandal 1MDB.
“Keenam, kejatuhan parah matawang Ringgit Malaysia kerana hilang keyakinan terhadap dasar dan keupayaan kerajaan dalam mengemudi ekonomi.
“Terakhir berkaitan kos sebenar projek MRT yang mencecah RM60 bilion. Hal semasa terkait inflasi dan harga barang juga mesti ditangani dengan baik agar beban kepada rakyat dapat dikurangkan,” katanya.
Tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu, isu isu tersebut memerlukan tindakan dan langkah mahu pun penjelasan segera. Perdana Menteri, katanya tidak seharusnya berdiam diri tatkala hal-hal mendesak itu mencengkam negara dan rakyat, serta bertentangan dengan semangat Perlembagaan dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan dan Pakatan Harapan.
“Saya fikir sekiranya ia tidak ditangani dan dibetulkan, maka Malaysia akan menemui kepayahan untuk bangkit semula sebagai tatanan yang baik, berintegriti dan bertanggungjawab.
“Kelesuan ekonomi saat ini ketimbang negara jiran Indonesia dari segi pelaburan asing (FDI), serta angka-angka melibatkan KDNK negara, pertumbuhan ekonomi, kadar kemiskinan serta pengangguran mesti dicerakinkan, diperbetul dan diperkukuhkan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Anwar menyeru rakyat supaya sedar dan menolak kebobrokan kerajaan BN – PN serta bangkit menuntut perubahan sebaik baiknya.