PANDUANKINI | Kes pembunuhan wanita
warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu kembali mencuri perhatian.
Ini susulan pendedahan
mengejutkan bekas polis elit Azilah Hadri yang mendakwa pembunuhan itu
diarahkan oleh Najib Abdul Razak.
ADS
Walaupun jenayah itu
berlaku 13 tahun lalu, saman sivil kes itu masih berjalan hingga ke hari ini.
Panduankini kali ini akan
menyorot kembali tiga persoalan utama: Siapa Altantuya, apa yang berlaku ketika
perbicaraan kes bunuh dan bagaimana Najib dikaitkan?
Siapa Altantuya?
Altantuya, 28, ialah
kekasih Abdul Razak Baginda, rakan rapat Najib.
Dalam laporan awal, dia dikatakan
seorang model.
Bagaimanapun, keterangan
dari keluarganya berkata dia bekerja sebagai penterjemah.
Dia mempunyai dua anak,
dengan dua pasangan berbeza dari Mongolia.
Kedua-dua anak Altantuya
dilahirkan sebelum dia bertemu Razak Baginda - bertentangan dengan laporan yang
mengatakan bahawa anak lelaki bongsunya sebagai anak Razak Baginda. Anak lelaki
bongsu Altantuya berumur empat tahun ketika ibunya mati.
Apa terjadi padanya?
Altantuya dilaporkan
hilang oleh sepupunya pada 19 Oktober 2006 ketika melawat Malaysia.
Pada 6 November, muncul
berita melaporkan mayatnya ditemui, selepas diletupkan di kawasan hutan di
Puncak Alam.
Pada hari berikutnya,
pihak polis dilaporkan menangkap tiga pegawainya. Razak Baginda pula dilaporkan
ditangkap pada 8 November tahun itu.
Minggu berikutnya, 15
November, anggota polis elit Azilah dan Sirul Azhar Umar dituduh membunuh
Altantuya.
Pada hari berikutnya,
Razak Baginda dituduh bersubahat dengan pembunuhan itu.
Apa hubungan Razak Baginda
dengan Altantuya?
Semasa perbicaraan,
didedahkan bahawa hubungan Altantuya dan Razak Baginda bermula pada 2004, dan
berakhir pada tahun berikutnya.
Ketika dia datang ke
Malaysia pada 2006, Altantuya dilaporkan menuntut AS$500,000 daripada Razak
Baginda sebelum menghilang.
Dalam laporan polis yang
dibuatnya beberapa jam sebelum dibunuh, dia memberitahu polis untuk menyemak
dengan Razak Baginda jika sesuatu berlaku padanya.
Razak Baginda bagaimanapun
dibebaskan daripada tuduhan bersubahat, selepas mahkamah memutuskan pihak
pendakwaan gagal membuktikan kes.
Apa Azilah sebut di
mahkamah?
Sementara itu, menurut
keterangan polis, Azilah membawa penyiasat ke tapak pembunuhan dan memperincikan
di mana Altantuya ditembak dan diletupkan.
Azilah berkata dia
dihubungi oleh DSP Musa Safri, aide-de-camp Najib
ketika itu, untuk membantu Razak Baginda menangani Altantuya. Sirul,
menurutnya, dibawa untuk membantu.
Azilah pada 19 Oktober
2006 berkata, Altantuya mencetuskan kekecohan di rumah Razak Baginda. Azilah
berkata dia kemudian mengambilnya untuk dibawa ke Bukit Aman.
Dia berkata tiada niat
untuk membunuh dan hanya mahu menasihati perempuan itu.
Semasa perjalanan ke Bukit
Aman, Azilah mendakwa dia memberitahu Sirul, yang memandu kenderaan, untuk
membawa Altantuya ke Bukit Aman kerana dia mempunyai urusan lain.
Azilah berkata kali
terakhir dia nampak Altantuya ketika wanita itu masuk ke kereta Jeep Sirul.
Azilah menafikan dia
berada bersama Sirul ketika pembunuhan itu berlaku dan berkata dia tiada motif
untuk membunuh Altantuya.
Apa pula Sirul sebut di
mahkamah?
Sirul, bagaimanapun,
berkata ketika diberhentikan di tepi jalan di depan bangunan lama Amanah Raya
Bhd dekat Jalan Duta pada malam 19 November 2006, untuk bertemu Azilah, dia
pulang ke rumah.
Sirul berkata sebelum itu
Azilah memberitahunya bahawa dia berjaya menenangkan Altantuya yang pada malam
sama membuat kecoh di rumah Razak. Menurutnya, itu kali terakhir dia mendengar
tentang Altantuya.
Sirul juga mendakwa dia
diperangkap dalam kes pembunuhan itu dan diperdaya untuk bergambar bersama
bukti kes.
Kedua-dua Azilah dan Sirul
dijatuhi hukuman mati pada 9 April 2009, walaupun motif pembunuhan itu tidak
diputuskan.
Sirul kemudian meninggalkan
negara ini antara 2013 dan 2015 sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan
kesalahan mereka. Dia kini sedang ditahan oleh imigresen Australia.
Bagaimana Najib dilibatkan?
Semasa perbicaraan, sepupu
Altantuya, Burmaa Oyunchimeg berkata dia pernah ditunjukkan gambar Altantuya
bersama Razak Baginda dan Najib.
Najib menafikan pernah
bertemu Altantuya.
Bagaimanapun, semasa
perbicaraan berjalan, penyiasat persendirian P Balasubramaniam - yang diupah
oleh Razak Baginda - membuat akuan berkanun (SD) mengejutkan dengan mengaitkan
Najib dengan Altantuya.
Walaupun ia tidak
mengaitkan Najib dengan pembunuhan itu, SD itu menyebut Najib - ketika itu
timbalan perdana menteri - memberitahu Razak Baginda bahawa kes itu akan
“selesai” pada hari dia ditangkap.
Sehari kemudian, pada 4
Julai 2008, Balasubramaniam membuat SD kedua yang menarik balik SD pertama
dengan berkata ia dibuat di bawah tekanan.
Balasubramaniam meninggal
dunia pada 2013.
Apa yang Sirul sebut tentang
Najib?
Sirul, dalam video dari
Australia, bersumpah dengan nama tuhan bahawa Najib tidak terlibat dalam kes
itu.
Sumber mendakwa terdapat
terdapat cubaan merasuah Sirul untuk mengaitkan Najib.
Dalam usaha mendapatkan
suaka, Sirul mendakwa dia diarahkan oleh kerajaan untuk membunuh Altantuya
kerana dia seorang perisik Rusia.
Dia juga berikrar untuk
mendedahkan segala-galanya berkaitan kes itu jika diberikan pengampunan.