Gempar! Muhyiddin terselamat, 2 ahli parlimen PKR bakal isytihar sokong PN?
KETIKA pembangkang dan beberapa ahli Parlimen kerajaan begitu seronok bercakap soal Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ada majoriti dan tidak cukup sokongan untuk menjadi Perdana Menteri serta mempertikaikan keabsahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tersebar berita agak mengejutkan.
Dua ahli Parlimen daripada PKR dikatakan sudah berkira-kira akan mengisytiharkan sokongan kepada Muhyiddin sekaligus akan memperkukuhkan kedudukan beliau dan Kerajaan PN.
Walaupun setakat ini belum ada pengisytiharan rasmi dilakukan oleh dua Parlimen berkenaan namun ia sudah diheboh diperkatakan. Kalau benarlah itu berlaku, sudah pasti ‘kita bersimpati’ kepada pembangkang khususnya PKR kerana mereka mahu melihat Muhyiddin digulingkan, ‘kapal’ mereka sendiri mula ada tanda-tanda akan bocor.
Tetapi ia mungkin tidak terhenti di situ sahaja, sejak bulan lalu, penulis diperingatkan oleh beberapa sumber jangan memperkecilkan kemampuan dan ‘seni politik’ Muhyiddin.
Ahli Parlimen Pagoh sudah pasti mempunyai perancangan sendiri bagi memastikan Kerajaan PN tidak tumbang dan beliau tidak menjadi Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah.
Jangan terperanjat kalau dikatakan, langkah memberi sokongan kepada Muhyiddin dan PN bukan hanya akan berkisar antara dua ahli Parlimen itu sahaja, malah khabarnya ramai lagi akan berbuat demikian.
Kalau itu terjadi sudah tentulah ia akan mengecewakan pembangkang dan segelintir pemimpin dalam kerajaan yang terlalu ingin mahu melihat Muhyiddin disingkirkan melalui sidang Dewan Rakyat.
Kita tidak nafikan peranan Parlimen memang penting kerana boleh berfungsi untuk proses semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan khususnya dalam menangani Covid-19.
Dan kita pun tidak berhasrat untuk mempertikaikan niat sesetengah pihak yang begitu beria-ia mahu sidang Parlimen diadakan, cuma apa yang kita bimbangkan, isu politik lebih banyak diperbahaskan berbanding masalah rakyat.
Malah tidak mustahil juga, kalau kita sekali lagi akan menyaksikan hiruk pikuk di Dewan Rakyat berkaitan keabsahan Perdana Menteri dan beberapa hari sebelum ia diadakan, adegan ‘memiliki majoriti menyakinkan’ akan berlaku.
Namun begitu janganlah pula mereka mengharapkan sidang Dewan Rakyat yang kalau diadakan boleh memberi mimpi ngeri kepada Muhyiddin, ia belum tentu, silap-silap haribulan orang lain yang mendapat mimpi ngeri itu…jangan sampai mahu melihat Muhyiddin ‘terguling’, orang lain pula yang ‘tergolek’.
Usahlah terlalu merendahkan seni politik Muhyiddin – itulah perkara yang diingatkan oleh seseorang kepada penulis berkali-kali. Kata individu ini, kalau Muhyiddin boleh meletakkan dirinya sebagai Perdana Menteri, tak kanlah beliau akan membiarkan sahaja beliau dijatuhkan dengan begitu mudah.
Lagi pula, kita pun tahu ada pergolakan hebat sedang berlaku dalam parti-parti tertentu, parti mana? Sama-samalah kita tunggu.