DUNGU PUN, DUNGULAH.....


Meskipun telah ditekankan banyak kali dan diulang oleh pelbagai pihak berkali-kali, tetapi masih ramai yang sengaja mendungukan diri sendiri dengan mengatakan tindakan undang-undang beberapa pihak berkaitan darurat adalah penderhakaan kepada Yang Dipertuan Agong.

Selain Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang mewakili PH yang mengambil tindakan undang-undang berkaitan darurat itu, tiga lagi pemimpin PH atas kapasiti mereka sebagai Adun iaitu Salahuddin Ayub, Johari Abdul dan Dr. Aziz Bari turut memfailkan semakan kehakiman atas hal yang sama.

Selain itu, Khairuddin Abu Hasan yang dikaitkan rapat dengan Tun Mahathir Mohamad juga menyaman Perdana Menteri berikutan darurat yang diisytiharkan itu.

Mereka yang sanggup mendungukan diri itu, selain berpendidikan dan golongan bergelar, termasuk pula yang berjawatan menteri dan berjuang atas nama Islam kononnya, sedangkan sebelum ini kelompok merekalah yang sedia berbaring atas jalan kerana membantah tindakan pihak Istana serta pernah menobatkan kerabat lain bagi menggantikan Sultan yang diakui sah kedudukannya.

Demi mempertahankan jawatan dan kedudukan, walau diperolehi melalui pintu belakang, mereka berkenaan sebenarnya hanya ingin terus menikmati laba melalui kedudukan sebagai menteri semata-mata.

Dengan itu, dungu pun, dungulah…asalkan dapat terus jadi menteri.

Dalam semua saman atau tindakan undang-undang yang dikemukakan berkaitan darurat, adalah mudah bagi sesiapa yang pernah bersekolah dan tahu membaca untuk mengetahui serta memahami fakta bahawa tindakan tersebut bukan diambil terhadap Agong.

Dalam saman Anwar dan tiga pemimpin PH, yang disaman ialah Muhyiddin atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri kerana memberi nasihat yang dipercayai salah kepada Agong dalam mengisytiharkan darurat, selain berkaitan penggantungan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketika darurat dikuatkuasakan.

Khairuddin pula mengemukakan samannya kerana beranggapan kedudukan Perdana Menteri sendiri tidak sah dan tiada keabsahan ketika memberi nasihat kepada Agong berkenaan darurat itu.

Sedemikian itu, adalah sangat jelas dan mudah difahami bahawa tiada sama sekali saman yang dikemukakan itu terhadap Agong atau berkaitan kedudukan baginda.

Haruslah difahami, sesuai dengan amalan Raja Berperlembagaan di mana Agong hanya boleh berbuat sesuatu sebagai ketua negara atas nasihat kerajaan dan Perdana Menteri, bermakna menyaman Perdana Menteri tiada kaitan sama sekali dengan pertikaian terhadap kemuliaan Agong.

Kerajaan dan Perdana Menteri adalah dipilih rakyat melalui pilihanraya dan dengan itu, mempertikaikan nasihat Perdana Menteri dan kerajaan kepada Agong tidak bersalahan dengan undang-undang, malah suatu hak yang dibenarkan.

Kalau rakyat tidak boleh bersuara mempertikaikan kerajaan atau Perdana Menteri, untuk apa pilihanraya setiap lima setahun diadakan?

Menganggap saman kepada Perdana Menteri sebagai menderhaka kepada Agong sebenarnya samalah seperti menyamakan atau cuba meninggi-darjatkan kedudukan Perdana Menteri dengan keistimewaan Agong.

Hanya mereka yang bertuhankan manusia dan percaya rezeki sebagai menteri ditentukan Muhyiddin saja yang sanggup mendewakan Perdana Menteri melebihi apa yang sepatutnya.

Dalam konteks Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, saman yang dikemukakan terhadap beliau adalah sesuatu yang wajar dan tepat kerana terbukti darurat yang dinasihatkannya adalah untuk kepentingan politiknya semata-mata.

Jika semata-mata kerana Covid dan tiada ancaman daripada Anwar yang telah menyembah maklum dan menulis surat kepada Agong untuk mohon mengadap bagi mempersembahkan sokongan majoriti yang dimiliki, ditambah lagi kiranya tiada usul UMNO bahagian-bahagian memutuskan hubungan dengan Bersatu dan tiada juga seorang demi seorang Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan, pastilah darurat dan penggantungan Parlimen ini tidak dicadangkan untuk dilaksanakan.

Tak sekolah pun mudah untuk faham hakikat ini, kecuali mereka yang suka mendungukan dirinya sendiri.

Memang ada banyak negara lain melaksanakan darurat, tetapi mereka melakulannya ketika tiada ancaman terhadap kedudukan Perdana Menteri dan tidak pula Parlimen digantung sama, sebaliknya semata-mata untuk menambahkan keberkesanan membendung Covid19.

Malah, di Italy misalnya, Perdana Menteri yang sedar hilang sokongan majoriti ketika Covid19 melanda telah dengan rela hati meletakkan jawatan, meski beliau bukanlah beragama Islam, jauh sekali merupakan anak ulama dan pandai membaca doa.

Kita sebaliknya, dengan PKP dan darurat lagi, tetapi kes Covid19 tetap kian meningkat setiap hari.

Perdana Menteri dan kerajaan dalam hal ini bukan saja patut disaman dan dibalun tanpa henti, malah wajib diganti. 

(Shahbudindotcom 29/01/2021)



No comments: