KESETIAAN MENTERI-MENTERI UMNO – KEPADA PARTI ATAU MUHYIDDIN?

 

Kelompok pemimpin UMNO yang diketahui kuat mempertahankan Muhyiddin Yassin dan mahu parti itu terus bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang ialah mereka yang kini memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan.

Mereka itu memegang jawatan menteri, timbalan menteri dan dilantik mengetuai pelbagai GLC.

Di antara mereka itu, ada yang berani bersuara secara terbuka dan ada juga yang hanya memilih menunjukkan sokongan secara diam-diam.

Tetapi, yang nyata mereka itu mahu Muhyiddin terus disokong dan kerajaan PN ini dikekalkan lagi supaya dalam masa yang sama, mereka boleh terus menikmati kedudukan dan jawatan dalam kerajaan.

Baru-baru ini apabila Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan mengutus surat kepada Ahli-Ahli Parlimen parti itu memohon persetujuan mereka untuk menggesa Yang Dipertuan Agong memanggil sidang Parlimen ketika tempoh darurat dikuatkuasakan, dilaporkan tidak sampai 10 orang yang bersetuju dengannya.

Selebihnya daripada 39 Ahli Parlimen UMNO itu, mereka memilih untuk tidak bersetuju kerana bimbang ia memberi persepsi kedudukan Muhyiddin sebagai ketua kerajaan dilihat tidak stabil.

Sudah tentu, mereka yang tidak setuju itu adalah mereka yang mempunyai kedudukan serta jawatan dalam kerajaan.

Jika diperhalusi, penolakan mereka itu adalah sesuatu yang pelik kerana seperti kata Nazri Aziz, keputusan meminta persetujuan itu adalah perkara yang diputuskan oleh Biro Politik UMNO.

Soalnya, bagaimana Ahli Parlimen UMNO boleh tidak setuju dengan perkara yang diputuskan oleh parti sendiri?

Ketika UMNO membuat keputusan memecat Muhyiddin daripada UMNO pada 2016 sebelum ini, mereka yang berada dalam kerajaan sekarang, kalau pun tidak semua, sebahagoan besar daripadanya turut bersetuju dengan tindakan parti pada waktu itu.

Ketika itu, Presiden UMNO adalah Najib Razak.

Hari ini, Muhyiddin yang mereka setuju dipecat dahulu adalah Perdana Menteri melalui partinya, Bersatu manakala UMNO merupakan sebahagian daripada kerajaan sehingga PRU15 akan datang.

Makna kata, bersekali dengan usul yang diluluskan oleh UMNO bahagian-bahagian untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15, pendirian sebenar UMNO dalam konteks hubungan dengan Bersatu, bukanlah suatu perkara yang rumit untuk mudah difahami.

Tetapi, mengapa masih ada pemimpin UMNO yang mahu lagi meneruskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU nanti?

Lebih daripada itu, jika dengan menarik sokongan dan menjatuhkan Muhyiddin boleh menyegerakan PRU15, bukankah ia lebih baik bagi UMNO daripada terus membiarkan Perdana Menteri berada lebih lama di kerusinya?

Kenapakah masih ada Ahli Parlimen UMNO yang menampakkan diri mereka lebih setia kepada Muhyiddin berbanding kesetiaan mereka kepada UMNO?

Di mana kesetiaan mereka sebenarnya – kepada parti atau kepada Muhyiddin yang memberikan mereka jawatan menteri, timbalan menteri dan kedudukan dalam GLC? 

(Shahbudindotcom 28/01/2021)



No comments: