Kerjasama Umno – Pas humban negara ke jurang perkauman
Kerjasama Umno-Pas yang akan termeterai esok dijangka akan menekan suasana sosio-politik Malaysia ke arah yang lebih parah.
Pemerhati politik berkata negara akan diheret ke arah politik perkauman dan agama serta mengekang pembaharuan sosial dan institusi.
Dr Lee Hwok-Aun, felo kanan di ISEAS-Ishak Yusof Institute di Singapura, berkata Malaysia akan hanyut ke perairan misteri yang berpotensi berbahaya.
“Pengukuhan kerjasama Umno-PAS, tanpa mewakili parti dan kumpulan lain akan terus mendorong ke arah politik yang berpusatkan Melayu-Islam ketika negara perlu memberi tumpuan kepada perpaduan sosial, kesejahteraan manusia, kesamarataan dan keadilan serta kemajuan ekonomi
“Sudah tentu, Pakatan Harapan (PH) masih mengawal keadaan tetapi ia perlu menetapkan agenda negara dengan lebih jelas, berani dan berintegriti,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Berkongsi pendapat Lee, Profesor Zaharom Nain dari kampus Universiti Nottingham Malaysia berkata kerjasama itu akan memecahbelahkan, dan jelas merupakan sesuatu yang buruk untuk negara.
“Ia menjadi motivasi bagi kerjasama terdesak ini yang menganggap lebih 60% penduduk Malaysia yang terdiri daripada orang Melayu akan tunduk kepada strategi mereka.
“Mungkin PH boleh mengguna pakai strategi serupa, tetapi ia akan menjadi bencana politik bagi PH, dan lebih buruk lagi, akan merosakkan negara serta menjadi tragedi kepada semua,” katanya. – RF8 Media